Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKPB Klang: Semua sektor ekonomi dibenar operasi macam biasa - Azmin
Diterbitkan:  Oct 8, 2020 5:38 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali berkata semua sektor ekonomi di daerah Klang dibenarkan untuk terus beroperasi seperti biasa, meskipun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa bermula tengah malam ini.

Beliau yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata perkara itu diputuskan dalam persidangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

“Daerah Klang merupakan pusat aktiviti perindustrian yang besar serta merupakan hab utama bagi pelabuhan kontena di Malaysia, dengan sumbangan aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang melebihi RM400 bilion pada tahun 2019.

“Justeru, setelah mempertimbangkan situasi kesihatan semasa di daerah Klang dan kepentingan menjamin kemampanan ekonomi, sidang MKN hari ini telah memutuskan untuk membenarkan semua sektor ekonomi di daerah Klang untuk terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan ketat kepada Prosidur Operasi Standard (SOP).

“Pihak berkuasa diarah untuk meningkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP untuk menjamin keselamatan pekerja-pekerja dan rakyat di daerah Klang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada sidang media maya di Facebook hari ini berkata pelaksanaan PKPB di Selangor itu hanya melibatkan mukim Klang, dan bukan kawasan lain seperti Pelabuhan Klang dan Kapar.

"Saya sudah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menteri besar Selangor iaitu PKPB Klang adalah di mukim Klang, tidak termasuk Kapar yang berada dalam daerah Klang.

"Kita sentiasa berhubung dengan kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor dari segi lokaliti dan sebagainya," kata Ismail.

Selain Klang, kerajaan persekutuan juga telah mengenakan PKPB ke atas kawasan-kawasan yang diklasifikasikan sebagai zon merah di Sandakan, Papar, dan Tuaran di Sabah, mulai pada tarikh yang sama. Ini berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah-daerah berkenaan.

Azmin juga mengingatkan supaya syarikat dan industri berkaitan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kerajaan menyedari bahawa syarikat dan industri termasuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) telah melabur untuk mewujudkan kemudahan dan langkah-langkah keselamatan dan protokol kesihatan tambahan di premis pekerjaan masing-masing semenjak kerajaan membuka semula operasi sektor ekonomi pada awal Mei 2020.

“Sehubungan ini, Miti ingin mengingatkan bahawa syarikat-syarikat dan industri yang berkaitan wajib mematuhi SOP yang ditetapkan. Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan operasi diberhentikan serta merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut akta dan peraturan semasa,” katanya. 

Lihat Komen
ADS