Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Berikut adalah lokasi yang telah disahkan mempunyai kes Covid-19, hari ini.

Bagaimanapun senarai ini tidak termasuk lokasi yang telah ditutup sementara bagi menunggu keputusan ujian swab terhadap individu dalam siasatan (PUI).

Proses pembersihan telah dibuat di lokasi-lokasi ini.

Malaysiakini akan terus mengemaskini senara ini apabila lebih banyak lokasi diumumkan nanti.

Jika anda ada maklumat berkenaan lokasi yang diumumkan hari ini tetapi tidak disenaraikan di sini, boleh emel kepada [email protected].

Bagi lokasi yang mempunyai kes Covid-19 dalam 30 hari terakhir, boleh kunjungi laman penjejak Covid-19 oleh Kini News Lab.

Pusat beli belah dan kawasan awam

  • Taman Arnab Abadi, Kuching

Semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan satu kluster baru dikesan di Kuching, Sarawak. Ia setakat ini melibatkan empat individu yang positif Covid-19. Kluster ini dinamakan Bah Arnab, dengan kes indeks melibatkan individu yang disahkan positif setelah pulang dari Sabah pada 7 Oktober.

Malaysiakini telah menghubungi pengurusan taman arnab di Kampung Malaysia Jaya di sana dan mengesahkan kluster baru ini berkaitan dengan taman tersebut.

Bagaimanapun, menurut jurucakap itu, taman tersebut ditutup sejak Mac lalu susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Masjid Lapangan Terbang Subang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang

Seorang individu yang positif Covid-19 hadir untuk sembahyang Jumaat di sini pada 2 Oktober.

Menurut pegawai masjid, mereka telah diarahkan menutup operasi masjid, bermula semalam (8 Oktober) sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

  • Restoran Nando's, Palm Mall, Seremban

Seorang pekerja restoran positif hari ini. Kali terakhir dia berada di restoran tersebut adalah pada 5 Oktober, menurut Nando's dalam satu kenyataan hari ini.

Pekerja itu dipercayai berkaitan dengan kluster Bah Sintok - kebanyakannya melibatkan pelajar universiti - dan kes itu dikesan berhubung dengan seorang pelajar yang kembali dari Sabah.

Sekolah

  • SK Bukit Kuda, Klang

Pihak sekolah memaklumkan ibu bapa bahawa murid darjah dua dan penjaga mereka perlu menjalani kuarantin 14 hari bermula 9 Oktober, selepas seorang murid disahkan positif.

Sekolah juga berkata Kementerian Kesihatan akan menghubungi ibu bapa yang terkesan.

  • Sekolah Rendah Agama Bukit Kuda, Klang

Seorang pelajar disahkan positif, kata seorang ketua kampung di sana.

Dia memberitahu Malaysiakini bahawa pelajar itu memiliki tiga lagi anggota keluarga dan mereka tinggal di Kampung Kuantan di sana.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pihak sekolah tidak dapat mengesahkan mahupun menafikan sama ada seorang pelajarnya sudah disahkan positif atau tidak, dan berkata hanya kementerian dapat mengeluarkan kenyataan berkenaannya.

Bagaimanapun sekolah mengesahkan kerja pembersihan telah dilakukan.

  • SMK Johor Jaya 1, Johor Bahru

Seorang kakitangan sekolah itu didapati positif hari ini, menurut laporan China Press.

Kawasan kediaman

  • Pangsapuri Bukit Kuda, Klang

Menurut penduduk, seorang murid SK Bukit Kuda yang disahkan positif tinggal di situ. Pangsapuri ini terletak kira-kira 650 meter daripada sekolah.

Orang luar kini tidak dibenarkan memasuki kawasan pangsapuri itu.

  • Apartmen Abadi Indah, Kuala Lumpur

Dua penduduk yang tinggal di Blok 55 disahkan positif, menurut pengurusan menerusi notis kepada penduduk hari ini.

  • Mentari Court, Petaling Jaya

Seorang penduduk disahkan positif pada 5 Oktober, menurut notis pengurusan kepada penduduk.

Pada masa sama notis itu menggesa para penduduk agar bertenang memandangkan individu tersebut tidak dijangkiti virus di situ.

Klinik

  • Klinik Menara, Bukit Jelutong

Pengurusan Klinik Menara Bukit Jelutong mengeluarkan notis memberitahu operasi mereka ditutup sementara, selepas seorang pesakit yang datang untuk membuat ujian Covid-19 pada kira-kira jam 8.30 pagi 6 Oktobr lalu, telah disahkan positif semalam (8 Oktober).

Menurut notis itu, kerja pembersihan sudahg dibuat dan doktor serta kakitangan akan menjalani saringan.

Mereka yang menjadi kontak rapat pesakit itu turut diarahkan menjalani kuarantin kendiri.

Kemudahan kerajaan

  • Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia Kuching & Pangkalan Tentera Udara Diraja Kuching

Tiga anggota pasukan keselamatan yang bertugas dalam PRN Sabah bulan lalu kembali di Sarawak pada 28 September. Mereka tiba di Pangkalan TUDM Kuching.

Mereka disahkan positif dan diarahkan menjalani kuarantin di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia Kuching.

Keputusan ujian swab kedua yang diambil pada 7 Oktober adalah positif.

Pengangkutan awam

  • Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching

Seorang pengawal keselamatan disahkan positif selepas menjadi kontak kepada seorang individu yang turut disahkan positif kemudiannya, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak.

Pengawal itu yang tiada sejarah perjalanan mutakhir ini menjadi kontak kepada individu itu di lapangan terbang pada 2 Oktober.

[Berita lanjut menyusul]

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat senarai semalam di sini.

 

Lihat Komen
ADS