Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MIC Kedah dakwa PAS pilih kasih, 'cakap tak serupa bikin'

MIC Kedah hari ini mendakwa kerajaan negeri Kedah yang diterajui oleh PAS sebagai mengamalkan pentadbiran pilih kasih serta tidak menghormati semangat setiakawan di kalangan gabungan komponen parti Perikatan Nasional (PN).

Pengerusinya S Ananthan berkata PAS Kedah perlu mengambil contoh kerajaan negeri Sabah yang amat berkomited dan menghormati parti-parti lain.

"Saya menghormati sikap terbuka yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri Sabah dengan memberikan peluang kepada kepimpinan PAS untuk menyertai barisan kepimpinan DUN negeri Sabah. Rata-rata pemimpin PAS di seluruh negara telah melahirkan rasa syukur ke atas pelantikan ini.

"Namun, pendirian kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS amat berbeza sekali dengan sikap kerajaan Sabah di mana tidak memberikan peluang langsung kepada parti-parti lain untuk menyertai barisan kepimpinannya," katanya kepada Malaysiakini

Beliau berkata demikian selepas mendakwa bahawa pimpinan kerajaan negeri Kedah terus meminggirkan parti-parti lain khususnya BN.

Pada Mei lalu, kerajaan Kedah Pakatan Harapan di bawah pimpinan Mukhriz Mahathir tumbang dan diambil alih oleh PAS bersama BN, Bersatu dan dua Adun PKR yang berpaling tadah dengan menyertai PN.

Dengan kekuatan 15 kerusi di DUN, pengarah pilihanraya PAS pusat Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai menteri besar.

Sejak itu, kerajaan negeri dikritik sebagai bersikap pilih kasih dengan meminggirkan wakil-wakil BN dalam pelantikan di kerajaan negeri.

Malaysiakini telah menghubungi Sanusi untuk mendapatkan ulasannya.

Menurut Ananthan yang juga Ahli Dewan Negara bahawa PAS umpama 'cakap tidak serupa bikin'.

"Bermula dari pelantikan ahli majlis PBT, Jawatankuasa Ketua Kampung (JKKK), Jawatan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT), pelantikan di GLC dan ketua komuniti seperti pegawai dan penasihat khas komuniti India kepada menteri besar, semuanya MIC dan BN dipinggirkan.

"Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan baru-baru ini berkata semua pihak perlu meneroka langkah mendamaikan pelbagai kumpulan yang tidak sependapat dalam Gabungan Rakyat Sabah (GBS) ketika ini.

"Ini selepas PAS diberi satu kerusi DUN di Sabah walaupun parti itu tidak pernah menang di Sabah dan tidak bertanding pada PRN Sabah. Inilah semangat yang ditunjukkan oleh parti-parti di Sabah. Tapi, bagaimana sikap PAS di Kedah? Nampaknya PAS 'cakap tak serupa bikin'," katanya.

Untuk rekod perlembagaan Sabah membenarkan parti kerajaan melantik enam individu sebagai Adun tanpa melalui pilihan raya.

"Adakah ini bermaksud PAS Kedah mengamalkan sikap kiasu di mana parti-parti komponen lain di bawah PN dipinggirkan?

"Saya berharap kerajaan PAS Kedah berfikiran terbuka dan berpandangan jauh seperti kerajaan Sabah dalam hal ini kerana MIC juga boleh memainkan peranannya dalam memantapkan jentera kerajaan," katanya lagi

Lihat Komen
ADS