Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lagi pemimpin kerajaan nasihat usah risau hantar anak ke sekolah
Diterbitkan:  Oct 9, 2020 3:30 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

Seorang lagi pemimpin kerajaan memberi penegasan kepada orang ramai bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan untuk menghantar anak-anak ke sekolah ketika kes jangkitan Covid-19 belum menampakkan tanda akan reda.

Menurut Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria, sekolah adalah tempat yang selamat kerana prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan dengan ketat.

“Ada ibu bapa bimbang tentang keselamatan anak mereka di sekolah semasa peningkatan kes Covid-19 terutama sekolah yang berdekatan kawasan yang mencatat kes yang tinggi.

“Namun semua sekolah di Perak kekal dan patuh dalam mengamalkan SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata demikian ketika ditemui media selepas dia menghadiri majlis penyerahan wang dermasiswa di Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Serai hari ini.

Kenyataan Razman itu dilihat senada dengan pendapat Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali baru-baru ini.

Noor Azmi yang juga anggota parlimen Bagan Serai berkata, secara perbandingan sekolah merupakan tempat yang lebih selamat berbanding di luar kerana pelaksanaan SOP bagi mencegah penularan Covid-19.

Justeru, katanya, kerajaan tidak akan menutup atau menangguhkan persekolahan buat masa ini.

“Di sekolah lebih selamat berbanding komuniti luar, jika tiada kes Covid-19, sekolah tidak akan ditutup,” katanya. 

Peningkatan mendadak dan laporan wujud kes positif dalam kalangan warga pendidik atau pelajar akhir-akhir ini meningkatkan lagi kebimbangan ibu bapa dan sesetengahnya mendesak Kementerian Pelajaran menangguhkan sementara sesi persekolahan atau sekurang-kurangnya beralih kepada kaedah pembelajaran secara dalam talian.

Razman berkata jika ada ibu bapa yang masih bimbang terhadap keselamatan anak masing-masing, mereka dibenarkan tidak menghantar pelajar terbabit dan memaklumkannya kepada pihak sekolah.

“Ibu bapa yang berasa kurang yakin tentang keselamatan anak mereka, bolehlah menghantar surat kepada sekolah untuk memaklumkan bahawa mereka tidak bersedia untuk hantar anak ke sekolah,” katanya.

Lihat Komen
ADS