Semua kakitangan Usim jadi kontak rapat Zulkifli negatif Covid-19
Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) memaklumkan ujian saringan pertama terhadap kakitangannya yang menjadi kontak rapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad menunjukkan keputusan negatif.
Perkara itu dinyatakan dalam notis yang dikeluarkan pengurusan Usim hari ini.
Dalam notis itu, Usim berkata semua kakitangan terlibat akan meneruskan kuarantin kendiri sehingga 20 Oktober ini.
"Ujian saringan kedua akan dilaksanakan semula terhadap semua kakitangan terlibat pada satu tarikh yang akan dimaklumkan Pejabat Kesihatan Negeri Sembilan.
"Pengurusan universiti melahirkan rasa syukur ke atas keputusan saringan pertama dan berharap ia dapat memberi kelegaan dan mengurangkan kebimbangan semua pihak yang terlibat dan terkesans ecara langsung dengan keadaan ini," katanya lagi.
Kakitangan yang terlibat telah memulakan kuarantin kendiri sejak 6 Oktober lalu.
Selain kontak rapat, Naib Canselor Usim Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata turut diarah menjalani kuarantin adalah staf yang berhubung rapat dengan kontrak kedua, antaranya imam dan jemaah saf pertama sembahyang Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Mukhriz (KITM) pada 2 Oktober, ahli mesyuarat bersama kontak pertama pada hari tersebut serta staf yang menyertai Majlis Pelancaran Portal Jom Infaq Usim.
Bilik mesyuarat Lembaga Pengarah Usim, bilik mesyuarat Naib Canselor dan KITM juga ditutup selama dua hari, katanya lagi.
Pada 5 Oktober lalu, Zulkifli mengesahkan dia positif Covid-19 dan menggesa mereka yang ada dalam program yang dihadirinya pada 24 September hingga 4 Oktober untuk membuat ujian saringan.Mohamad menunjukkan keputusan negatif.

