Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak lebih 250 tetamu untuk majlis perkahwinan di kawasan PKPB
Diterbitkan:  Oct 10, 2020 6:28 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Kerajaan membenarkan tidak lebih 250 tetamu pada sesuatu masa di majlis perkahwinan dalam kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, sementara prosedur operasi standard (SOP) bagi kawasan yang dikenakan PKPB adalah sama, syarat tertentu boleh berubah berdasarkan keadaan setempat - misalnya di mukim Klang dan pantai timur Sabah.

"Walaupun biasanya kita benarkan 500-600 (tetamu) berdasarkan tempat, hari ini kita tetapkan maksimum 250 orang sahaja dan mesti maklumkan kepada polis.

"Polis perlu dimaklumkan agar boleh membuat rondaan (bagi memastikan SOP dipatuhi)," katanya ketika ditanya sama ada syarat PKPB berbeza mengikut tempat.

Dia berkata demikian ketika sidang media di rumahnya yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Menurut Ismail, setelah mengambil kira bilangan kes Covid-19, kerajaan memutuskan untuk membenarkan majlis perkahwinan di mukim Klang tetapi mengenakan sekatan lebih ketat di pantai timur Sabah.

"Di mukim Klang, jauh berbeza dengan Sabah...Tumpuan di mukim Klang hanya tujuh lokaliti manakala hampir seluruh kawasan (yang dikenakan PKPB) di pantai timur Sabah adalah kawasan merah.

"Sebab itu kita bila ada permohonan untuk adakan majlis perkahwinan di Klang, kita benarkan dengan syarat ketat, termasuk dengan kerahan Rela dan pihak lain," katanya lagi.

Ismail berkata, polis memaklumkan kepadanya hanya satu majlis perkahwinan diadakan di mukim Klang hari ini dan tiada yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini dan minggu depan.

Pengumuman Ismail berkenaan majlis perkahwinan di kawasan yang dikenakan PKPB semalam mencetuskan kebimbangan pakar perubatan yang membangkitkan kesukaran mengamalkan penjarakan fizikal dan langkah pencegahan penularan yang lain.

Sementara itu, Ismail berkata kerajaan tidak berhasrat mengenakan larangan terhadap semua kegiatan sukan sentuhan, tetapi memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan telah mengambil langkah proaktif dengan membatalkan atau menangguhkan acara yang berlangsung.

Dia berkata semua bentuk kegiatan sukan juga dilarang di kawasan yang dikenakan PKPB.

Selain Klang, PKPB turut dikenakan di kawasan yang dikategori sebagai zon merah iaitu Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah, sejak 9 Oktober, susulan peningkatan kes Covid-19 di sana.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS