Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gelombang ketiga Covid-19: Ibu bapa di Lembah Klang takut hantar anak sekolah

Dengan peningkatan kes Covid-19 di Lembah Klang, ibu bapa semakin mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Bimbang dengan penularan virus dan kurangnya penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP), mereka mengambil pendekatan “tunggu dah lihat” sebelum menghantar semula anak-anak mereka ke sekolah.

Ketika berhubung dengan ibu bapa dan keluarga murid, Malaysiakini difahamkan, sesetengah kelas menyaksikan kehadiran murid merudum menjadi hanya separuh atau kurang.

Meskipun begitu, nampaknya, tidak semua sekolah beralih ke pembelajaran dalam talian, menyebabkan ibu bapa sendirilah yang harus menjadi guru buat anak-anak mereka, meskipun bekerja.

Sharifah Shahidah (gambar judul, atas) tidak menghantar anak lelakinya yang bersekolah di sekolah menengah di Damansara Utama, Petaling Jaya, Isnin lalu, selepas mendapat tahu terdapat beberapa ibu bapa yang merupakan pegawai kepada ahli politik dan pegawai kerajaan yang terlibat dalam PRN Sabah.

Sebanyak 10 sekolah di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya terkesan dengan jangkitan Covid-19 dalam tiga minggu kebelakangan ini, antaranya berpunca daripada peningkatan wabak selepas pilihan raya negeri itu.

Malah, kerana berkongsi kebimbangan sama, ibu bapa kepada 22 lagi pelajar daripada 35 rakan sekelas anaknya juga tidak menghantar anak mereka ke sekolah pada Jumaat lepas.

Sharifah turut berhenti menghantar dua anak lelakinya yang lebih kecil ke sekolah rendah di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur setelah menyedari SOP penjarakan fizikal tidak dipatuhi dengan ketat, terutamanya selepas waktu sekolah.

Minggu ini, sekolah rendah anaknya itu menyaksikan penurunan kehadiran sehingga 77 peratus pada Isnin, dan hanya 38 peratus pada Jumaat. Menurutnya, terdapat begitu ramai ibu bapa yang tidak menghantar anak mereka ke sekolah sehinggakan cikgu menyediakan contoh surat permohonan ketidakhadiran.

“Semua alasan dikemukakan (untuk tidak hadir) adalah cuti Covid-19.

“Cikgu pun memberikan contoh surat buat ibu bapa yang mahu menulis permohonan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah kerana bimbang dengan Covid-19,” kongsinya.

Nur Aufa Johan (gambar, bawah) pula berkata, keluarganya mengambil keputusan untuk tidak menghantar adik lelakinya berusia 11 tahun ke sebuah sekolah rendah di Taman Megah, Petaling Jaya minggu ini selepas mendengar ada kes positif Covid-19 di sekolah berdekatan.

Pada Jumaat, hanya enam daripada 41 rakan sekelas adiknya yang hadir ke sekolah.

“Kami dengar berita bahawa sekolah-sekolah berdekatan ada kes positif dan itu sudah cukup menakutkan (sehingga) kami minta dia belajar di rumah saja,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, dilaporkan bahawa kesemua 800 murid sesi pagi di SK Bangsar di Kuala Lumpur tidak hadir ke sekolah setelah dua muridnya disahkan positif Covid-19. Hanya selepas ketidakhadiran beramai-ramai itu, sekolah berkenaan ditutup.

Dekat sangat dengan rumah

Bilangan kes jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara melambung dan berlegar hanya di zon tiga digit bermula 1 Oktober, dan kemuncaknya adalah pada Selasa lalu, iaitu mencecah angka 691.

Semalam, 354 kes baru dilaporkan, manakala jumlah pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah 73 orang dan 28 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Meskipun kebanyakan jangkitan tertumpu di Sabah dan Kedah, terdapat kluster-kluster baru dikesan di negeri-negeri lain, sebahagiannya dicetus oleh mereka yang pulang dari Sabah.

Kes dikesan bukan saja di sekolah, tetapi di tempat awam lain seperti pasar raya, restoran, dan bank di sekitar Lembah Klang.

Norman Said (atas, kiri), mengambil keputusan berhenti menghantar anak perempuannya berusia 15 tahun ke sekolah, selepas dua minggu jangkitan virus dikesan begitu dekat di sekitar tempat tinggal mereka.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu sekurang-kurangnya ada empat kes terbaru di kawasannya di Kuang, Gombak.

“Kuang ini komuniti kecil; ada kedai 99 Speedmart (kedai beraneka), semua orang pergi situ. Dan sekolah anak saya dekat saja dari situ.

“Mungkin rasa takut, takut yang dia mungkin dapat penyakit itu daripada sesiapa sahaja yang bebas bergerak. Ada banyak kes tak bergejala, kita tak tahu siapa yang jadi pembawa. Saya tak berani ambil risiko,” jelasnya.

Meskipun tinggal di bahagian lain di Lembah Klang, Sofian Azahari Wahab dan adik beradiknya semuanya bersetuju untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah minggu ini.

Tiada kes di kesan berdekatan rumahnya di Cheras. Tetapi di sekolah anak saudara perempuannya di Putrajaya, ada dua kes Covid-19. Oleh itu, buat masa ini, anak saudaranya serta ibunya (adik perempuan Norman) sedang menunggu keputusan ujian Covid-19 mereka, manakala sekolah pula ditutup dan disanitasi.

Kata Sofian, dia berasakan perlu untuk mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan anak lelakinya yang merupakan anak berkeperluan khas, ada berjumpa dengan adik perempuannya itu baru-baru ini.

Sanitasi di Sekolah Kebangsaan Presint 8(1) di Putrajaya.

“Saya rasa saya akan rasa selesa untuk hantar dia kembali ke sekolah setelah kes harian baru di bawah 100,” kongsinya.

Dua jangkitan Covid-19 di Sekolah Kebangsaan Presint 8(1) di Putrajaya dikaitkan dengan kluster Selasih, yang dicetus oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya yang pulang dari Sabah.

Bahagi masa kerja, mengajar anak

Sementara ibu bapa berkata tiada masalah untuk anak-anak mereka tinggal di rumah demi kesihatan dan keselamatan.

Ini meskipun terpaksa bekerja, menjaga anak-anak dan mengajar dalam masa yang sama.

Kongsi Nur Aufa, minggu ini, ahli keluarganya yang lain terutamanya ibunya, terpaksa sama-sama mengajar adik lelakinya, meskipun mereka juga berkerja.

“Mak kami memainkan peranan besar dalam memastikan dia (adik lelakinya) ikut jadual. Pada kebanyakan masa, mak akan duduk bersama dan ajar dia, sementara dalam masa serentak, mak juga menyelesaikan kerjanya sendiri [...]

“Saya kagum dengan mak atas kesanggupan, kesabaran dan kekuatannya. Kalau saya, saya dah jadi gila. Saya cubalah bantu, tapi itu bukanlah apa-apa sangat jika dibandingkan dengan apa yang dilalui mak saya,” katanya.

Meskipun sekolah-sekolah itu merupakan sekolah bandar, sebahagian ibu bapa berkata guru masih belum memulakan platform pembelajaran dalam talian seperti Google Classroom bagi memastikan para murid yang memilih tinggal di rumah, tidak ketinggalan dalam pembelajaran mereka.

Aplikasi yang lebih banyak digunakan adalah WhatsApp.

Sharifah berkata, seorang guru kepada salah seorang anak lelakinya, hanya menggunakan aplikasi pesanan yang ringkas itu untuk berkomunikasi secara harian dan urusan kerja rumah pelajar-pelajarnya.

Jika anak-anaknya terus tinggal di rumah, dia yang bekerja sepenuh masa itu harus mengenakan jadual harian, sepertimana dilakukannya semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dahulu.

“Ya, saya memang bimbang (terpaksa membahagi masa). Kalau ini berlanjutan lebih lama, saya kena susun rancanganlah. Minggu ini masih okey, saya cuma ‘kau buatlah apa kau nak buat’ (terhadap anak-anak).

“Tapi kalau ini (berlanjutan) lebih lama, saya kena fikir macam mana dulu masa PKP dulu,” katanya.

Norman juga berkata guru anak perempuannya tidak menggunakan platform pembelajaran dalam talian sejak sekolah dibuka semula.

Dalam dua minggu lepas, anaknya belajar sendiri sementara dia dan isterinya bergilir-gilir memantau.

“Lebih baik selamat daripada menyesal. Apa-apa pun (masalah) yang dihadapi (kerana tidak menghantar anak ke sekolah), itulah bebannya (yang harus kami tanggung).

“Saya lebih rela buat begini daripada menyesal di kemudian hari dan mendapat tahu (mungkin) ada orang positif (Covid-19) di sekolahnya dan ada kawan-kawannya yang dijangkiti.

“Kami kena buat pengorbanan ini,” kata Norman.

Tahun ini, wabak Covid-19 telah mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran untuk ribuan pelajar.

Sekolah di seluruh negara terpaksa ditutup lebih tiga bulan dan hanya dibuka secara beransur-ansur pada Jun. Peperiksaaan utama pula, sama ada ditangguhkan atau terus dibatalkan.

Meskipun wujud program pembelajaran dalam talian, keberkesanannya dihampakan dengan akses internet dan peranti elektronik yang terhad, lebih-lebih lagi di luar gandar dan di kalangan isi rumah berpendapatan rendah.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS