Delegasi Umno Kelantan yang membantu kempen PRN Sabah baru-baru ini disahkan bebas daripada jangkitan Covid-19, kata Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub.

Menurutnya, ia selepas tiga kali saringan dibuat terhadap 95 ahli Umno yang terlibat didapati negatif.

"Saringan (ketiga) pada hari ini 11 Oktober dilakukan oleh pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) melibatkan kesemua jentera yang bertugas di Sabah tempoh hari.

"Walaupun ujian saringan kali pertama dan kedua didapati negatif, saya tetap mengarahkan agar kesemua jentera wajib dikuarantin selama 14 hari sebelum pulang ke pangkuan keluarga.

"Umno Kelantan mengambil pendekatan untuk kuarantin kendiri demi keselamatan petugas, ahli keluarga, kenalan dan masyarakat khususnya di negeri Kelantan.

"Ia bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu difahamkan kesemua jentera Umno Kelantan itu dikuarantin di sebuah hotel di Kota Bharu bermula 27 Sept lalu.

Sementara itu Ahmad Jazlan berkata, sepanjang tempoh kuarantin itu pelbagai aktiviti dijalankan bersama khususnya dalam usaha mengeratkan hubungan sesama ahli.

"Sepanjang tempoh kuarantin, pelbagai perasaan yang dialami, rindu pada keluarga, sedih, hiba dan gembira. Namun, dengan ikatan ukhwah yang ada pada kami, telah terjalin suatu hubungan kekeluargaan yang baru dan mengeratkan semua petugas yang menjalani kuarantin.

"Pelbagai aktiviti dilakukan secara bersama seperti solat berjemaah, beriadah, aktiviti keagamaan dan aktiviti team building bagi mengisi ruang waktu yang ada.

"Ada juga dalam kalangan kami yang menghubungi ahli keluarga melalui panggilan video bagi mengubat rindu pada mereka," katanya.

Tambahnya, hari ini kesemua petugas dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga dengan penuh keyakinan bahawa mereka bebas daripada wabak Covid-19.

"Umno Kelantan amat berbesar hati untuk berkongsi bahawa tiada seorang di kalangan kami yang didapati positif Covid-19.

"Saya menyeru masyarakat terus menjaga keselamatan diri, patuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan dan sentiasa menjaga kebersihan untuk mencegah penularan wabak ini dengan lebih serius," jelasnya.