Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
298 sekolah di PJ, Shah Alam, Subang Jaya diarah tutup mulai esok
Diterbitkan:  Oct 11, 2020 6:50 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Susulan gelombang baru Covid-19 semua sekolah di zon merah daerah Petaling, Selangor akan ditutup bermula esok hingga 25 Okt.

Perkara itu diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan media hari ini.

Untuk rekod, Petaling merangkumi Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya.

"Selaras dengan perutusan khas perdana menteri pada 6 Oktober 2020 berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), KPM memaklumkan bahawa semua sekolah di kawasan zon merah di Petaling, Selangor, akan ditutup bermula 12 Oktober 2020 sehingga 25 Oktober 2020.

"Ini melibatkan sebanyak 298 buah sekolah di seluruh daerah Petaling. Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM," katanya.

Jelas KPM, ibu bapa, penjaga dan warga sekolah boleh menyemak kemas kini senarai sekolah yang terlibat dengan penutupan itu di portal KPM di www.moe.gov.my serta di platform media sosial rasmi KPM.

Sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup, kata KPM.

Ibu bapa atau penjaga juga disarankan mengambil anak mereka yang tinggal di asrama untuk pulang.

Bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama dengan keperluan makan dan minum mereka akan disediakan oleh pihak sekolah.

"Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.

"Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my," kata kenyataan itu lagi.

Berikut merupakan sekolah yang terlibat dengan penutupan di zon merah daerah Petaling:

 

Malaysia hari ini melaporkan 561 kes Covid-19 baru, yang merupakan kedua tertinggi sepanjang wabak berkenaan melanda negara.

Kes harian tertinggi adalah pada enam hari lalu, iaitu pada 6 Oktober dengan 691 kes.

Jumlah kes baru hari ini terdiri daripada 553 kes penularan tempatan dengan Sabah menyumbang 488 kes; Selangor 25; Kedah 16; Kuala Lumpur 8; Labuan 5; Johor, Melaka dan Terengganu masing-masing 3 kes; serta Pulau Pinang dan Perak masing-masing satu kes.

Lihat Komen
ADS