Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengarahkan agar tangkapan segera dilakukan terhadap orang yang menyemburkan "cannister" pemedih mata di Lapangan Terbang Kota Bahru semasa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba untuk lawatan sehari ke Kelantan.

Menurutnya, polis yang menjalankan siasatan telah mengenalpasti lelaki yang menyembur cannister pemedih mata itu.

Dalam satu kenyataan, Musa berkata, insiden itu berlaku ekoran timbul satu pertengkaran antara dua kumpulan yang menganjurkan majlis untuk menyambut ketibaan Dr Mahathir, satu diketuai Datuk Ibrahim Ali, dan satu lagi oleh Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, semasa mereka membawa Dr Mahathir untuk masuk ke kereta, timbul pertengkaran antara dua kumpulan itu.

"Pada masa itu tarik menarik belaku kerana kumpulan Datuk Nik Sapeia ingin membawa Tun Dr Mahathir ke dalam keretanya.

Tindakan tegas

"Pada masa itu seorang lelaki telah menyembur cannister pemedih mata ke muka Datuk Ibrahim Ali dan terkena sedikit muka Tun Dr Mahathir dan pegawai pengiring beliau," kata Musa.

Dr Mahathir seterusnya dibawa oleh pegawai peribadinya ke sebuah kereta lain untuk pergi ke tempat penginapan beliau.

Musa juga menafikan sekeras-kerasnya berita yang disebar melalui Internet bahawa mata Ibrahim telah disembur oleh orang yang memakai jaket yang dipercayai daripada Pasukan Gerakan Khas polis.

Beliau menyifatkan laporan Internet itu sebagai perbuatan fitnah untuk memburuk-burukkan polis dan kerajaan.

Musa memberi amaran bahawa polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang menyebar berita paslu melalui Internet dan media massa.