Amaran untuk akhbar, jangan mainkan isu sensitif
Kerajaan telah mengenalpasti dua akhbar arus perdana yang telah menyalahgunakan kebebasan dengan menyiarkan pelbagai berita dan rencana yang bertujuan menidakkan kredibiliti kedudukan Agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan hak semua kaum di negara ini, kata Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin.
Kerajaan telah mengenalpasti dua akhbar arus perdana yang telah menyalahgunakan kebebasan dengan menyiarkan pelbagai berita dan rencana yang bertujuan menidakkan kredibiliti kedudukan Agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan hak semua kaum di negara ini, kata Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin.
Sehubungan itu beliau memberi amaran kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap media yang menaikkan api perkauman serta agama dan akan bertindak berpandukan cara Malaysia dalam menangani masalah yang timbul bagi meneguhkan lagi peradaban akhbar beretika Malaysia.
Beliau berkata, tindakan mempersoalkan kedudukan agama Islam dan hak semua kaum yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara adalah tidak wajar.
Menurutnya lagi, kerajaan juga mempunyai bukti bahawa penyiaran berita-berita, rencana dan wawancara ini telah menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat Malaysia.
Beliau membuat kenyataan itu dalam sidang akhbar di kementeriannya di Kuala Lumpur bagi mengulas arahan Perdana Menteri dan kabinet supaya pihak akhbar berhenti daripada memainkan isu-isu sensitif berkaitan agama dan kaum demi menjaga perpaduan kaum
Sambil menegaskan kenyataan Perdana Menteri itu bukanlah satu "gag order" beliau menjelaskan arahan itu hanyalah penerusan dasar kerajaan yang telah dilalaikan oleh media tertentu, yang tidak menghayati dasar negara.
Menurutnya, tindakan akhbar-akhbar tersebut telah menimbulkan salah tafsiran di kalangan pengarang akhbar lain, yang menganggap akhbar-akhbar tertentu itu telah diberikan kebebasan yang istimewa.
Zainuddin berkata, kerajaan tidak pernah selama ini memberikan hak istimewa dan kebebasan kepada mana-mana akhbar sebaliknya sentiasa bersikap adil dengan kepercayaan bahawa setiap media mempunyai tanggungjawab sosial, sesuai dengan semangat dan inspirasi nasional.
"Tetapi jika mereka sendiri merasakan berada dalam kedudukan istimewa, maka itu adalah perasaan mereka sendiri. Jika ada akhbar yang mendakwa mereka dapat hak istimewa daripada mana-mana pihak dan mahu mencabar kerajaan di dalam hal ini, maka mereka akan dapat melihat keadilan dengan lebih jelas," katanya.
Tempoh bulan madu
Kabinet telahpun dimaklumkan adanya akhbar-akhbar, yang amat cenderung untuk mengambil kesempatan daripada satu-satu isu agama dan kaum, untuk memperbesar-besarkannya dan telah menimbulkan unnecessary contentious . Yang terakhir ialah memperbesarkan isu Ethnic Relation Guide Book Universiti Putra Malaysia (UPM) di mana laporan mengenainya tidak berdasarkan kepada fakta sebenar dan hanya dibuat dengan mendapatkan pandangan daripada satu pihak sahaja.
"Saya tegaskan, jika ada pihak yang menganggap bahawa Perdana Menteri selama ini berada di dalam period bulan madu dalam dasar kebebasan akhbar di Malaysia maka itu adalah tanggapan mereka sendiri. Dan jika ada pengarang yang anggap mereka mempunyai keistimewaan, dalam persaingan untuk menunjukkan siapa lebih bebas dengan menyiarkan sesuatu yang sensitif, mengenai agama dan hubungan kaum bagi mengejar komersialisme, sensasi dan kredibiliti, maka itu adalah tafsiran sendiri."
"Mereka tidak seharusnya menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang di restui oleh Perdana Menteri," tambah Zainuddin.
Menteri Penerangan juga mahu akhbar-akhbar belajar daripada sejarah kewartawanan dan media di Malaysia yang membuktikan akhbar-akhbar juga terlibat dalam menimbulkan ketidakstabilan sehingga berlakunya tragedi 13 Mei dan kemudiannya kerajaan terpaksa mengambil tindakan terhadap media dengan melancarkan Operasi Lalang.
"Media tidak seharusnya menimbulkan unnecessary contentious dalam keadaan negara yang aman dan damai dan di mana dunia pasaran akhbar berada di dalam keadaan yang sihat dan tidak sentiasa diganggu gugat oleh Akta Hasutan 1948 dan juga Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,"tambahnya.

