Umno Bahagian Padang Besar akan mengadakan satu majlis ceramah perdana untuk Tun Dr Mahathir Mohamad, kata ketuanya Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Sebelum ini, bahagian berkenaan telah mengundang bekas Perdana Menteri itu untuk merasmikan mesyuarat bahagian itu pada 26 Ogos ini.

Bagaimanapun, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno baru-baru telah memutuskan hanya ahli MT dan menteri yang boleh merasmikan mesyuarat Umno bahagian.

Zahidi berkata, keputusan mengundang Dr Mahathir untuk merasmikan mesyuarat bahagian tersebut diputuskan dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa bahagian itu baru-baru ini.

"AJK sebulat suara mahu Tun Dr Mahathir merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Padang Besar sebagai tanda menghargai jasa beliau kepada negara.

"Tun Dr Mahathir juga merupakan seorang pemimpin agung yang berjaya membangun dan memajukan orang Melayu dan negara selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi semalam.

Zahidi berkata, Dr Mahathir juga telah bersetuju untuk merasmikan mesyuarat tersebut.

Tunggu arahan

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno baru-baru telah memutuskan hanya ahli MT dan menteri yang boleh merasmikan mesyuarat Umno bahagian.

Keputusan itu dipercayai dibuat berikutan ada bahagian-bahagian Umno, termasuk Umno Padang Besar, yang telah mengundang bekas Perdana Menteri untuk merasmikan mesyuarat bahagian masing-masing.

Bagaimanapun, MT berkata pihaknya tidak menghalang mana-mana bahagian Umno yang berhasrat untuk mengadakan perjumpaan dengan Dr Mahathir.

Mengenai arahan tersebut, Zahidi berkata: "Kami tidak pasti mengenai perkara itu dan sedang menunggu arahan bertulis. Jika ia benar kami akan akur dan akan meminta pemimpin lain untuk merasmikannya.

"Tetapi kami akan mengadakan satu majlis ceramah perdana untuk Tun Dr Mahathir sebagai menggantikan undangan untuk merasmikan mesyuarat bahagian ini," katanya lagi.

Zahidi yang juga bekas Exco kerajaan Perlis sebelum digugurkan baru-baru ini berkata, keputusan untuk menjemput Dr Mahathir merasmikan bahagian Padang Besar sudah disampaikan kepada pemimpin Umno negeri lain.

Katanya, Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim sendiri mengalu-alukannya dan menurutnya akan memberi peluang kepada rakyat khusunya ahli Umno bertemu Dr Mahathir.

"Tidak ada pemimpin Umno Perlis yang melarang kedatangan Tun Dr Mahathir untuk merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Padang Besar 28 Ogos ini," katanya lagi.