Tujuh anggota tentera adalah antara 27 saksi yang disoalsiasat oleh pihak polis berhubung kejadian di mana bahan pemedih mata disembur ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad ketika tiba di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa semalam.

"Tujuh anggota tentera tersebut diupah oleh salah satu pihak penganjur sebagai pegawailperibadi (Dr Mahathir)," kata Ketua Polis Kelantan, SAC 1 Zulkifli Ahmad

Kejadian itu berlaku ketika dua kumpulan satu diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali dan satu lagi oleh ahli perniagaan Nik Sapeia Nik Yusoff berebut untuk membawa Dr Mahathir dari lapangan terbang tersebut.

Ketika Dr Mahathir hendak berucap kepada para hadirin dari atas kenderaan Mitsubishi Pajero, bahan pemedih mata telah disembur ke arah Ibrahim yang turut mengenai orang lain, termasuk Dr Mahathir.

Berikutan kejadian tersebut, Dr Mahathir kelihatan tidak selesa dan matanya berair ketika dia dibawa oleh pengawal peribadi, dipercayai termasuk tujuh anggota tentera tersebut, ke sebuah kereta lain dan terus beredar dari situ.

Dr Mahathir tidak mengalami sebarang kecederaan dan pulih seperti sediakala selepas berihat di hotel penginapannya. Beliau kemudian berucap di sesi dialog dengan ahli Umno selepas mengerja solat Jumaat.

Suspek ditahan

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat Polis Kota Bharu, Zulkifli berkata seorang lelaki berusia 57 tahun, yang berpangkat 'Datuk" telah ditahan untuk membantu siasatan.

Suspek tersebut ditahan kira-kira jam 10 malam tadi di Pasir Tumbuh kira-kira 11 sejam selepas kejadian itu berlaku dan dia dijangka dikenakan tahanan reman.

Zulkifli bagaimanapun enggan mendedahkan identiti suspek tersebut.

Lelaki tersebut disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan niat melalui penggunaan bahan beracun.

Tambahnya, motif serangan tersebut masih disiasat dan pihak polis tidak menolak kemungkinan ramai lagi ditahan berkaitan kejadian tersebut.

Contoh bahan yang digunakan dalam serangan tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan.

Mengenai dakwaan polis tidak mengawal ketat ketika kejadian itu berlaku, Zulkifli berkata, pihak polis telah emnggunakan budibicaranya pada pagi itu manakala kawalan keselamatan diperketatkan dua lagi majlis yang dihadiri Dr Mahathir semalam.

"Apabila kita merancang mengenai langkah keselamatan, kami semak latarbelakang mereka yang datang. Pada masa yng sama, pihak polis tidak mahu dituduh menghalang orang ramai menghampiri pemimpin mereka," tambahnya. Berita asal