Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow berkata, pihak media telah tersilap lapor kenyataannya dengan memetik beliau sebagai berkata kerajaan bercadang meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk merangkumi media elektronik dan internet.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa kerajaan, buat ketika ini, tidak bercadang meminda akta tersebut, tetapi hanya mengkaji sama ada akta berusia lebih 20 tahun itu perlu dipinda, memandangkan perkembangan terbaru dalam dunia media.

"Terdapat aduan dari media (cetak) bahawa tidak terdapat ruang yang adil untuk bergerak kerana akta itu hanya meliputi media cetak. Jadi, selepas mendengar aduan, saya kata kita akan kaji perkara itu, tidak pernah saya kata kita akan pinda akta itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata sesetengah media telah tersilap lapor kenyataan beliau semasa Persidangan Media Massa 2006 kementerian itu di Putrajaya baru-baru ini berhubung perkara itu.

"Tidak benar. Saya perlu jelaskan untuk media elektronik, ia masih dalam bidang kuasa Suruhanjaya Multimedia. Tidak pernah saya kata kita akan pinda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (bagi meliputi media elektronik dan internet). Ia (dalam bidang kuasa) kementerian lain," tambahnya.

Kajian biasa

Fu menjelaskan sebab beliau berkata kementerian akan mengkaji akta berkenaan adalah untuk menentukan sama ia masih relevan dengan keperluan hari ini memandangkan terdapat jurang antara pelbagai media yang wujud hari ini.

Ini terutamanya menyentuh media cetak yang selama ini tertakluk kepada pelbagai peraturan, manakala media elektronik dan internet terlepas dengan perkara-perkara yang dilakukan tetapi tidak media cetak, katanya.

"Kami mengkaji kerelevanan akta itu dan ia hanyalah kajian biasa, kajian berterusan kementerian," kata beliau.

Ditanya mengenai sungutan media Internet berhubung perkara itu Fu berkata: "Apa yang hendak mereka sungutkan? Tidak pernah saya kata kita akan pinda undang-undang ini untuk mengawal media Internet".