Setiausaha Agung BN Annuar Musa berpandangan tidak salah untuk Umno, PAS dan Bersatu untuk kembali membuat rundingan politik demi kebaikan negara.

Annuar berkata, politik negara dan perpaduan Melayu perlu diperkuat dan ketiga-tiga parti itu bertanggungjawab untuk memastikannya.

"Tidak salah untuk Umno, Bersatu dan PAS kembali ke 'drawing board' politik agar kita dapat melakar sesuatu yang lebih baik untuk Malaysia.

"Untuk itu kita perlu bertenang, banyak berfikir dan bijak bertindak.

"Jangan emosi mendorong kita untuk tidak memikirkan keburukan yang boleh menimpa rakyat dan negara kita," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.

Nada itu ternyata berbeza dengan perkembangan mutakhir ini dengan mesyuarat biro politik Majlis Tertinggi Umno semalam untuk menimbang untuk menarik semula sokongan terhadap kerajaan PN dan ingin memberikan syarat kerjasama baru kepada PN.

Kenyataan media Ahli Parlimen Ketereh YB TAN SRI ANNUAR MUSA Mungkin ada asas tertentu yg menyebabkan UMNO mahu...

Posted by Tan Sri Annuar Musa on Rabu, 14 Oktober 2020

Hari ini, bekas presiden Najib Razak berkata keputusan itu munasabah dan veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan suratnya yang menggesa speaker Azhar Harun membenarkan pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Annuar tidak menolak wujudnya asas untuk Umno mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan PN.

"...Dan tidak mustahil melalui semakan itu, kerajaan PN boleh diperkasakan lagi menerusi muafakat yang lebih tersusun, lebih bersefahaman.

"Politik negara perlu distabilkan dan keutamaan mesti ditumpukan untuk menyelamatkan rakyat dan mengekang wabak Covid-19, memulihkan ekonomi negara, meringankan beban hidup rakyat serta jadikan Malaysia sebuah negara berjaya, bukan 'a failed state' atas apa juga sebab," katanya lagi.