"Saya tidak mahu kembali menjadi Perdana Menteri. Sudah cukup, 22 tahun sebagai perdana menteri, lebih lama daripada sesiapa pun," kata un Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu menyangkal dakwaan pihak tertentu kononnya beliau mengkritik kerajaan secara terbuka kerana menyimpan hasrat untuk kembali menjadi perdana menteri.

Bekas perdana menteri yang mengadakan lawatan sehari ke Kelantan semalam berkata sebagai ahli Umno yang menyokong kuat perjuangan parti, beliau membuat teguran untuk kepentingan parti, negara dan orang Melayu.

"Sebagai ahli Umno, saya akan terus berjuang dan tidak akan menyerah dengan mudah," katanya kepada pemberita di hotel penginapannya di Kota Bahru selepas majlis makan tengah sempena lawatannya semalam.

Menurut laporan Bernama, sebelum itu, majlis ucapan Dr Mahathir di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa tergendala apabila beliau disembur oleh bahan pemedih mata oleh orang yang tidak dikenali dan akibatnya terbatuk-batuk dan pedih mata.

Menjawab soalan sama ada tindakan beliau mengkritik kerajaan secara terbuka boleh merosakkan perpaduan Umno, Dr Mahathir berkata perkara itu tidak timbul kerana ia merupakan perkara yang biasa berlaku dalam parti.

Katanya beliau tidak khuatir tentang perkara itu kerana akhirnya orang Umno akan patuh kepada mereka yang berjuang untuk Umno, orang Melayu dan agama Islam.

Bersatu padu

"Kalau kita bersatu padu buat kejahatan, itu saya menentang. (Kita) bersatu padu untuk kebaikan," katanya.

Katanya beliau tidak peduli sama ada sumbangannya dihargai atau tidak kerana apa yang penting ialah Umno, orang Melayu dan negara ini tidak dirosakkan.

Dr Mahathir berkata beliau telah bekerja keras untuk negara dan mempunyai tanggungjawab untuk memberi penjelasan kepada penduduk mengenai "apa yang baik dan buruk" untuk Malaysia.

Majlis Dialog Isu-isu Semasa Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad itu dianjurkan Jawatankuasa Penaja Alumni Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Umno Kelantan yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Strait Times Tan Sri Abdullah Ahmad.

Hadir sama pada majlis itu ialah bekas Menteri Besar Kelantan Tan Sri Mohamed Yaacob, Abdullah dan veteran Umno Kelantan Tan Sri Hussein Ahmad.

Dalam sesi penjelasan dan soal jawab kira-kira dua jam itu, Dr Mahathir mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya atau sebagai presiden parti pada pemilihan Umno akan datang.