Malaysiakini
BERITA

Zahid: Timbang semula sokong PN tiada kaitan kes mahkamah

Hariz Mohd

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Okt 2020, 3:05 pagi

Beberapa jam selepas ketua pembangkang Anwar Ibrahim mengadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa lalu, majlis tertinggi Umno mengumumkan parti itu mempertimbangkan semula sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan memberitahu parti itu akan menetapkan syarat baru untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan PN.

Sejak itu timbul pelbagai spekulasi, di antaranya dakwaan bahawa Umno mahukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggugurkan tuduhan terhadap beberapa pemimpinnya, terutama presidennya, yang menghadapi kes jenayah di mahkamah.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi ketika dihubungi Malaysiakini.

"(Syarat baru) tidak ada kaitan dengan kes mahkamah," katanya dalam kiriman pesanan teks. "Ini semua mengenai Umno sebagai parti."

Anggota Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun, tidak menjelaskan ketika ditanya mengenai tuntutan baru mereka, termasuk apakah parti itu ingin lebih banyak wakil dalam kabinet.

Kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri kini ibarat telur di hujung tanduk memandangkan beliau hanya memiliki majoriti tipis dua kerusi di Parlimen.

Pada Selasa lalu, Anwar mengadap Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi mempersembahkan dokumen sahih membuktikan sokongan lebih 120 ahli parlimen terhadapnya.

Tuduhan jenayah

Walaupun Umno dan rakan komponennya dalam BN bukan sebahagian daripada PN, parti itu pada masa ini menyokong kerajaan yang dipimpin Muhyiddin untuk terus berkuasa.

Bagaimanapun, pihak tertentu dalam parti berasaskan Melayu itu tidak senang apabila Bersatu memainkan peranan yang lebih di peringkat persekutuan dan beberapa negeri, walaupun Umno mempunyai lebih banyak kerusi. 

Ini menyebabkan timbul gesaan agar Umno memutuskan kerjasama mereka dengan Bersatu.

Zahid kini menghadapi 47 tuduhan jenayah, yang terdiri daripada 12 tuduhan pecah amanah (CBT), lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram.

Selain Zahid, pemimpin Umno lain yang menghadapi perbicaraan jenayah di mahkamah adalah Anggota Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Mansor dan Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim.

Pada Julai lalu, bekas presiden Umno dan bekas perdana menteri Najib Razak didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dengan kes bekas anak syarikat 1MBD, SRC International melibatkan dana RM42 juta.

Najib didakwa atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Anggota Parlimen Pekan itu kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Selain itu, dia menghadapi banyak tuduhan lain berkaitan skandal 1MBD.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan