Dr M: Msia tidak buat apa-apa selaku pengerusi OIC
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik kepimpinan pasif penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik kepimpinan pasif penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
"Sekarang, masa sudah hampir tamat tempoh kita menjadi tuan rumah dan pemimpin kepada OIC. Tapi, malangnya, semasa tiga tahun kita memimpinnya, kita tidak buat apa-apa," katanya di satu majlis makan malam di Kota Bharu malam tadi.
Beliau mendakwa, OIC di bawah kepimpinan Malaysia hanya membisu ketika tercetus kontroversi berhubung karikatur menghina Nabi Muhammad pada awal tahun ini.
"Sehinggakan apabila karikatur (menghina) Nabi Muhammad dikeluarkan di Denmark, kita tidak bertindak apa-apa. Kita senyap, kita membisu sehinggalah orang-orang lain, membangkitkan perkara ini.
"Sepatutnya, kitanya yang mempelopori tindakan untuk mempertahankan Umat Islam, kerana kita telah diamanahkan untuk memimpin OIC ini.
"Saya bukan nak hasut sesiapa. Cuma cakap berkenaan dengan yang benar sahaja. Saya harap kita sama-samalah memikir, kenapakah nama baik Malaysia sedang merosot sekarang, walaupun dia baru saja dikenali oleh dunia," tambahnya.
Pemimpin PAS turut hadir
Sebelum itu, Dr Mahathir bercakap mengenai konflik Israel-Lebanon dan menggesa negara-negara Arab yang kaya supaya menggantikan Dollar Amerika dengan matawang Euro, Yen ataupun emas, supaya nilai dollar jatuh.
Menurutnya, ia merupakan satu pendekatan yang logikal memandangkan tindakan keganasan Israel terhadap negara-negara Arab dibiayai oleh wang dan senjata Amerika.
Majlis makan malam itu dianjurkan oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang dipengerusikan oleh Datuk Ibrahim Ali dan dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang.
Ramai pemimpin PAS turut hadir, termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat; dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa; bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Mohamad Yaakob; bekas Pengerusi Mara Datuk Ruhanie Ahmad dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Tan Sri Abdullah Ahmad.
Nik Aziz duduk semeja dengan Dr Mahathir. Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Husam berkata Dr Mahathir masih mempunyai peranan untuk memperkukuhkan OIC, khususnya dalam mendesak Israel menghentikan keganasannya ke atas Lebanon.
Menjawab satu soalan, beliau berkata, PAS akan bekerjasama dengan Dr Mahathir untuk menangani kegiatan yang boleh melemahkan negara.

