Sebelas maut, 9 parah bila bas terbalik di Juru
Sebelas orang maut manakala 33 lagi cedera, termasuk sembilan daripadanya parah, apabila sebuah bas sewa khas terbalik di KM160.8 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Jawi, di Juru, Pulau Pinang pagi ini.
Sebelas orang maut manakala 33 lagi cedera, termasuk sembilan daripadanya parah, apabila sebuah bas sewa khas terbalik di KM160.8 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Jawi, di Juru, Pulau Pinang pagi ini.
Kejadian berlaku pada jam 7.50 pagi ketika bas yang membawa 44 penumpang itu dalam perjalanan dari Ipoh ke Bukit Mertajam. Antara yang terbunuh ialah dua kanak-kanak.
Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat, Penguasa Wan Azmi Ahmad berkata, mereka menyewa khas bas itu untuk menghadiri satu acara keagamaan di Gereja St Anne, Bukit Mertajam.
Menurut laporan Bernama, kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Seberang Jaya dan Hospital Parit Buntar, Perak, sementara mayat 11 penumpang yang maut ditempatkan di bilik mayat, Hospital Sungai Bakap untuk dituntut keluarga.
Sementara itu, polis mengenalpasti lima daripada 11 penumpang yang maut itu sebagai Arokiasamy Ponniah, 52; R.Yoganathan, 36; R.Sebastian, 55; Andrew Nelson, 13, dan Elvin ArulSamy (perempuan), 13 tahun.
Mayat mangsa dituntut
Menurut polis, mereka berasal dari Jelapang dan Silibin di Ipoh dan kesemua mayat ditempatkan di Hospital Sungai Bakap bagi dituntut anggota keluarga masing-masing.
Difahamkan kesemua mangsa kemalangan adalah anggota "Church of Our Lady" di Silibin, yang sedang dalam perjalanan bersama-sama sekumpulan yang lain menggunakan beberapa bas sewa khas, untuk menghadiri satu acara keagamaan di Gereja St Anne, Bukit Mertajam.
Menurut Wan Azmi lagi, bas yang mereka naiki terbabas dan terbalik ketika dalam perjalanan dari Ipoh ke Bukit Mertajam.
Selain hospital Sungai Bakap, mangsa yang cedera turut dirawat di Hospital Seberang Jaya di sini dan Hospital Parit Buntar, Perak.
Sementara itu, suasana menjadi pilu di Hospital Sungai Bakap apabila anggota keluarga dan rakan-rakan mangsa, yang sebahagian besarnya dari Ipoh, berkumpul dan ada yang berdakapan di perkarangan rumah mayat hospital itu, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Beberapa anggota keluarga terdekat mangsa, kelihatan meraung dan terpaksa dipapah keluar dari bilik mayat selepas membuat pengecaman identiti mereka yang maut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.