Peguam persoal mengapa RUU Covid-19 belum diwartakan
Peguam Syahredzan Johan mempersoalkan mengapa RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 masih belum diwartakan.
Syahredzan berkata, meskipun terdapat kelemahan, pewartaan RUU tersebut sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban hidup rakyat.
"Walaupun semua pihak bersetuju bahawa undang-undang seperti ini penting dan diperlukan, RUU tersebut telah dikritik oleh pelbagai pihak kerana tidak cukup menyeluruh dalam memberi perlindungan kepada mereka yang terkesan dengan wabak Covid-19 yang masih melanda negara.
"Kerajaan persekutuan juga telah dikritik kerana membentangkan RUU tersebut terlalu lewat. Negara-negara lain sudahpun menggubal undang-undang seperti ini pada awal tahun 2020 apabila pandemik koronavirus ini mula melanda.
"Malangnya, sehingga kini RUU tersebut masih belum diwartakan dan belum berkuatkuasa," kata Syahredzan, yang juga setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.
Syahredzan berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada Mac yang bermakna sudah hampir tujuh bulan sejak PKP diumumkan.
"Negara juga kini sedang dalam gelombang ketiga wabak Covid-19, dengan angka harian yang mencecah 3 digit setiap hari.
"Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga telah dikenakan ke atas negeri Sabah dan Selangor, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. PKPB ini sudah tentu memberi impak besar kepada orang ramai.
"Maka, RUU tersebut sekiranya berkuatkuasa, akan sedikit sebanyak memberi kelegaan dan perlindungan walaupun terdapat banyak kelemahan," katanya.
Bagaimanapun Syahredzan berkata kerajaan persekutuan bagaikan tidak mengambil serius perkara ini, apabila RUU tersebut masih belum menjadi undang-undang sehingga kini.
Tambahnya, meskipun terdapatnya proses perundangan untuk menjadikan RUU kepada Akta, tetapi dalam situasi hari ini adalah wajar proses itu dipercepatkan bagi RUU tersebut.
"Demi mengurangkan beban dan kesempitan rakyat, kerajaan persekutuan digesa untuk segera memastikan bahawa RUU tersebut diwartakan dan kemudian dikuatkuasakan," katanya.
RUU Covid-19 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 25 Ogos dan kemudian diluluskan oleh Dewan Negara pada 22 Sept.
Bagaimanapun, semakan dengan Warta Persekutuan hari ini mengesahkan bahawa ia belum diwartakan, yang merupakan proses terakhir sebelum menjadi undang-undang.
Sebaliknya, Singapura sudah meluluskan dan mewartakan Akta Covid-19 (Langkah Sementara) 2020 pada bulan April, enam bulan yang lalu.

