Pemuda Umno dedah syarikat sokong Israel beroperasi di Msia
Pergerakan Pemuda Umno akan menyenaraikan jenama produk serta syarikat antarabangsa yang turut beroperasi di negara ini yang dikenal pasti menyalurkan bantuan kewangan kepada regim Israel.
Pergerakan Pemuda Umno akan menyenaraikan jenama produk serta syarikat antarabangsa yang turut beroperasi di negara ini yang dikenal pasti menyalurkan bantuan kewangan kepada regim Israel.
"Kita mahu menyedarkan orang ramai dan memberi tahu mereka tentang syarikat-syarikat ini... rakyat boleh guna hak sebagai pengguna sama ada mahu terus melanggan atau tidak," kata Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin.
Bercakap pada sidang akhbar selepas membentangkan kertas kerja pada Seminar Keusahawanan Pemuda Umno Perak di Teluk Batik dekat Lumut semalam, beliau berkata, pihaknya tidak mahu melancarkan sebarang bentuk kempen boikot kerana berdasarkan pengalaman, usaha itu didapati kurang berkesan.
"Saya akan cadangkan untuk kita menyenarai serta mengedarkan senarai syarikat yang dengan jelas menyokong regim Israel melalui keuntungan mereka supaya kita mempunyai kesedaran siapa mereka yang membantu Israel.
"Kita tidak mahu mengumumkan kempen untuk memboikot produk atau sebagainya kerana kempen ini berdasarkan pengalaman kita selalunya tidak berkesan," katanya.
Menurut laporan Bernama, Khairy berkata usaha menyenaraikan nama syarikat yang didapati jelas menyokong dan menyalurkan bantuan kewangan kepada regim Israel sedang dilakukan sebelum ia diedarkan kepada umum.
Regim zionis
Mengulas lanjut, Khairy berkata pergerakan itu kelmarin ada menerima e-mel mengenai rangkaian kedai kopi antarabangsa yang didakwa menyokong Israel dengan menyalurkan bantuan kewangan kepada regim zionis itu.
Beliau berkata sekiranya perkara itu benar, orang ramai perlu dipertingkatkan kesedaran mereka mengenai produk terbabit, sekaligus membuat penilaian sendiri sama ada mahu terus menyokong produk atau jenama yang mempunyai kaitan dengan Israel.
Menurut Khairy, syarikat terbabit mempunyai rangkaian kedainya di negara ini dan jika syarikat itu turut disenaraikan kelak, Pemua Umno menyerahkan kepada orang ramai untuk bertindak memulaukannya.
Sementara itu, Khairy berkata Pemuda Umno akan meneruskan bantahan terhadap kekejaman Israel dengan mengadakan demonstrasi di seluruh negara.
Katanya program itu sebagai kesinambungan demonstrasi yang diadakan di perkarangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Jumaat.
Beliau berkata adalah penting untuk masyarakat Malaysia terus menyuarakan bantahan terhadap kekejaman Israel di Palestin dan Lebanon.
Khairy bersama-sama Ketua Pemuda Umno Perak Zainol Fadzi Paharudin selepas itu mengetuai kira-kira 500 anggota pergerakan berkenaan mengadakan demonstrasi mengutuk kekejaman Israel di kawasan lapang berhampiran venue seminar berkenaan.

