Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kejadian di Kota Bharu Jumaat lalu amat menakutkan kerana beliau sesak nafas selepas terkena semburan bahan pemedih mata.

Selain itu, katanya, beliau juga tidak dapat berkata-kata, tekak sakit, sementara mata, hidung dan bibir berasa pedih.

"Kejadian itu menakutkan," katanya sambil menyifatkan kejadian Jumaat lalu sebagai usaha bagi menggagalkan beliau daripada membuat ucapan.

Dr Mahathir berkata beliau sepatutnya berucap sebaik tiba di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, dari atas Pajero kepada hadirin bagi menyampaikan ucapan terima kasih dan selepas ucapan, bertukar ke kereta lain.

"Tetapi semasa hendak masuk Pajero, ada seorang lelaki gempal menarik saya dengan kuat dan kasar, tidak memberi saya masuk ke dalam Pajero, tetapi saya masuk juga. Kemudian apabila bangun untuk bercakap itu, saya disembur.

"Pada mulanya saya ingatkan ia daripada gas pemedih mata polis, tetapi yang ini (semburan itu) tidak mempunyai warna seperti gas pemedih mata," katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa projek pembangunan di Langkawi semalam.

Bantu siasatan polis

Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir berkata, beliau percaya semburan yang digunakan adalah daripada jenis yang sering digunakan wanita sebagai senjata terhadap mereka yang cuba melakukan perbuatan tidak baik dan alat semburan (pepper spray) itu mudah diperolehi dalam pasaran.

Katanya, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis termasuk akan memberi keterangan dalam usaha polis melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Mengulas langkah beliau bersama rakan kongsinya membuka kedai roti dengan nama "The Loaf" di Telaga Harbour Park, Langkawi, Dr Mahathir berkata beliau memang berminat berniaga sejak dari dahulu lagi.

Katanya, beliau memilih perniagaan roti kerana begitu menggemari roti dan beliau mahu menghasilkan roti yang berkualiti tinggi.

"Secara peribadi saya mahu membuktikan bahawa semasa menjadi Perdana Menteri saya menyuruh orang berniaga, sekarang saya hendak mencuba sendiri. Kita ada kepimpinan melalui teladan dan sekarang saya nak tunjuk teladan," katanya.

Kedai berkenaan dibuka secara rasmi oleh Dr Mahathir petang semalam.