Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan 'sogokan politik' PM: Pemuda PKR lapor polis

Pemuda PKR (AMK) membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan melakukan "sogokan politik" dengan menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Ini susulan dakwaan yang dibangkitkan dalam surat oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada 14 Okt bahawa dia pernah ditawarkan jawatan penasihat Petronas oleh Muhyiddin.

"(Ini) perkara yang tidak adil kerana menggunakan sumber dan jawatan kerajaan persekutuan untuk mengukuhkan jawatannya sebagai perdana menteri.

"Tujuan laporan polis dibuat supaya dapat membuat siasatan secepat mungkin," kata Adun Rawang Chua Wei Kiat selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi Kuala Lumpur, pagi tadi.

Pada 14 Okt, dalam satu surat Razaleigh mendakwa Muhyiddin menawarkan jawatan penasihat Petronas, yang secara tradisi ditawarkan kepada bekas perdana menteri.

Ahli parlimen Gua Musang itu bagaimanapun menolak tawaran itu kerana bimbang dengan Perkara 48 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai “hilang kelayakan keanggotaan Parlimen” jika memegang sesuatu jawatan berpendapatan.

Katanya lagi, peruntukan itu untuk mencegah ahli parlimen daripada membuat sokongan atau mengundi menyokong kerajaan kerana "penyogokan politik".

Sementara itu, Chua turut menyeru Muhyiddin supaya meletakkan jawatan.

"Muhyiddin Yassin telah hilang sokongan majoriti ahli parlimen. Maka, beliau harus letak jawatan," katanya.

Untuk rekod, pada 23 Sept Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan dia mempunyai sokongan kukuh dan meyakinkan daripada ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan pusat.

Beliau turut mendakwa kerajaan PN diketuai Muhyiddin tumbang kerana hilang sokongan majoriti.

Muhyiddin sebelum ini dikatakan mempunyai sokongan 114 ahli parlimen di Dewan Rakyat, iaitu kelebihan hanya tiga kerusi daripada majoriti mudah.

Lihat Komen
ADS