Keraguan terhadap vaksin bukan 'isu besar', kata pakar
Ketika dunia menantikan vaksin untuk memerangi wabak Covid-19, pakar kesihatan Dr Lokman Hakim Abdullah berkata keraguan terhadap vaksin di Malaysia tidak akan menjadi faktor penghalang utama.
Katanya, walaupun keraguan terhadap vaksin merupakan satu cabaran, program vaksinasi kanak-kanak di Malaysia misalnya berjalan lancar.
“Bagi Malaysia, saya rasa kita tidak seburuk itu. Melihat program imunisasi kanak-kanak, kita masih melakukannya dengan baik.
"Tetapi, tentu saja, cabaran akan selalu ada. Kita akan terus menghadapi halangan seperti itu di negara ini. Saya rasa itu bukan isu besar, ”katanya dalam satu wawancara bersama Astro Awani malam tadi.
Lokman berkata demikian beberapa minggu selepas tinjauan mendapati terdapat tanda-tanda keraguan terhadap vaksin yang tinggi di Malaysia.
Dalam tinjauan yang diterbitkan oleh Pew Research Centre pada 29 Sept, hanya 52 peratus responden di Malaysia menilai vaksin kanak-kanak mempunyai manfaat kesihatan yang "tinggi", berbanding 34 peratus sebagai "sederhana" dan 14 peratus memberi respons "rendah" atau "tiada".
Tinjauan itu juga mendapati 27 peratus responden Malaysia percaya bahawa vaksin kanak-kanak mempunyai risiko kesan sampingan yang "tinggi", berbanding 40 peratus yang menilai risiko itu sebagai "sederhana" dan 32 peratus berkata sebagai "rendah" atau tidak ada.
Tinjauan ini mengkaji sikap masyarakat terhadap sains di 20 negara di seluruh dunia, dan dilakukan dari Oktober 2019 hingga Mac 2020.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2019 mengenal pasti keraguan terhadap vaksin sebagai ancaman kesihatan awam global terbesar ketika itu.
Sementara itu, Lokman yang juga bekas timbalan ketua pengarah Kementerian Kesihatan berkata Malaysia harus mempertimbangkan akses terhadap inisiatif vaksin Covax dan menamatkan perjanjian untuk membeli vaksin dari negara-negara tunggal.
Sebaliknya, beliau memberitahu walaupun kos yang tinggi untuk menyertai inisiatif Covax, ia masih merupakan perjanjian terbaik kerana mempunyai kekuatan membeli bersama-sama beberapa negara lain, yang memungkinkan mereka membeli vaksin secara pukal dan berunding dengan harga yang lebih rendah.
"Logiknya, jika anda mengumpulkan negara-negara dan melakukan pembelian secara besar-besaran, maka anda akan mendapat tawaran yang lebih baik. Sekurang-kurangnya apabila anda mempunyai berbagai-bagai vaksin dalam portfolio anda, jika tidak satu vaksin berkesan sekurang-kurangnya anda mempunyai alternatif lain.
"Jika anda bergantung pada satu rundingan dua hala (untuk mendapatkan vaksin dari satu negara), bagaimana jika vaksin itu tidak berkesan ?
"Jadi, apa yang ingin saya katakan adalah, saya rasa kerajaan perlu mempertimbangkan kedua-duanya. Mereka harus mempertimbangkan semua alternatif, melihat kedua-dua mekanisme.
"Sudah tentu, jika kerajaan dapat membuat perjanjian dua hala yang baik dengan mana-mana pengeluar, dengan segala cara, itu bagus," kata Lokman.

