Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Tiada keperluan PKPD di pusat tahanan Kamunting
Diterbitkan:  Oct 16, 2020 6:38 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Majlis Keselamatan Negeri Perak memutuskan bahawa tiada keperluan perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) untuk Pusat Tahanan Koreksional (Kemta) Kamunting.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengatakan bahawa wabak Covid-19 di fasiliti itu terkawal.

"Jawatankuasa mendapati penularan jangkitan Covid-19 hanya membabitkan satu blok yang dikhaskan kepada tahanan yang berisiko sahaja," katanya.

Tambahnya, kakitangan penjara di blok itu telah dikurangkan dan diwajibkan memakai Peralatan Pelindung Peribadi (PPE) semasa bertugas.

"Kemta juga memastikan tiada sebarang kontak di antara anggota bertugas dengan tahanan.

"Pergerakan keluar masuk tahanan juga telah dihentikan bagi mengelakkan penularan baru," katanya lagi.

Faizal juga memaklumkan bahawa tidak ada kes baru yang dikaitkan dengan Kluster Batu hari ini.

Kluster ini dikaitkan dengan Kemta.

"Justeru, rakyat khususnya penduduk di kawasan sekitar Kamunting dan Taiping dinasihatkan supaya tidak panik dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

"Kerajaan negeri menyeru orang ramai untuk terus mengamalkan disiplin norma baharu bagi mengekang penularan Covid-19 di kalangan komuniti," katanya.

Awal hari ini, kenyataan oleh Jabatan Penjara telah menimbulkan kekeliruan kerana telah menyatakan bahawa PKPD kini dikuatkuasakan di Kemta hingga 29 Oktober.

Namun, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob, yang merupakan jurucakap Majlis Keselamatan Negara, tidak membuat pengumuman serupa.

Perisytiharan PKP hanya dapat diwartakan oleh Kementerian Kesihatan.

Lihat Komen
ADS