Malaysiakini
BERITA

Penggunaan katil ICU di Sabah pada tahap 72 peratus

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Okt 2020, 12:26 tengahari

Kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital Sabah semakin meningkat dengan kes harian yang terus bertambah dalam angka tiga digit di negeri ini.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan bahawa 72 peratus daripada 122 katil ICU di hospital awam negeri ini sedang digunakan.

Ini termasuk untuk kes bukan Covid-19.

Bercakap semasa siaran langsung dari rumahnya, Noor Hisham mengatakan usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan jumlah katil ICU di Sabah.

"Bagi meningkatkan jumlah katil ICU, KKM telah menyusun atur semula kawasan klinikal (repurposing of clinical areas) di beberapa fasiliti kesihatan di mana kawasan dalam hospital digunakan untuk diubah suai bagi tujuan rawatan pesakit kritikal Covid-19 (modular ward ICU).

"Ini membantu meningkatkan jumlah katil ICU yang sedia ada di negeri Sabah," katanya.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan terdapat 180 ventilator di Sabah, dengan 32 peratus sedang digunakan termasuk untuk kes-kes bukan Covid-19.

Kementerian Kesihatan juga akan memanfaatkan percetakan 3D untuk membuat pemisah ventilator yang membolehkan satu mesin digunakan oleh dua pesakit - seperti yang sedang dilakukan di negara lain.

Noor Hisham juga berkata kapasiti katil di hospital Covid-19 di Sabah dan pusat rawatan dan kuarantin berisiko rendah telah meningkat 2.5 kali ganda dari 2,129 pada awal September, kepada 5,414 katil ketika ini.

Penggunaan katil ketika ini adalah pada 35 peratus.

Angkatan Tentera Malaysia juga telah mendirikan sebuah hospital lapangan di Tawau yang menyediakan 100 tempat tidur lagi untuk pesakit bukan Covid-19.

Sementara itu, untuk memastikan rawatan bagi pesakit bukan Covid-19 tidak terjejas, Jabatan Kesihatan Sabah juga telah menandatangani perjanjian penyumberluaran dengan 6 hospital swasta, termasuk Gleneagles di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang, KPJ Sabah, Pusat Perubatan Pakar Tawau, Pusat Perubatan Jesselton, dan Institut Jantung Negara.

Noor Hisham turut memaklumkan bahawa mereka telah menerima 4,794 permohonan daripada pegawai perubatan dari sektor swasta yang ingin memberikan khidmat sukarela untuk membantu Sabah melawan Covid-19.

Kementerian Kesihatan kini sedang meneliti permohonan berkenaan dengan melihat pengalaman, amalan dan status kesihatan mereka.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.