Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Remaja OKU diberi Pingat Hang Tuah lepas selamatkan adik dari kebakaran

Keberanian seorang remaja lembam Nuraina Erieka Abdullah menyelamatkan adiknya dalam satu kebakaran mendapat pengiktirafan apabila dianugerahi Pingat Hang Tuah hari ini.

Anugerah itu disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun bersempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2020 yang diadakan secara maya disebabkan penularan wabak Covid-19.

Video mengenai sambutan bertemakan "Bumi Lestari: Kanak-kanak Dilindungi" itu dikongsikan menerusi laman Facebook Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurut laporan media, Nuraina Erieka, 13, yang sudah keluar menyelamatkan diri, kembali memasuki rumahnya yang terbakar dan mengeluarkan adiknya yang berusia setahun tiga bulan dalam kejadian di flat Taman Anggerik Desa, Jalan Beserah, Kuantan, Pahang bulan lepas.

Pingat Hang Tuah merupakan anugerah yang diberikan kerajaan kepada kanak-kanak berumur bawah 18 tahun yang menunjukkan keberanian luar biasa dalam membantu menyelamatkan nyawa manusia dan harta benda serta tindakan-tindakan lain sewaktu kecemasan dan bencana.

Sementara itu, Rina dalam ucapan perasmian sambutan tersebut menekankan kepentingan menjaga kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak dalam segala aspek kehidupan bagi menjamin masa depan negara yang lebih cemerlang.

Katanya bancian penduduk Malaysia bagi 2019 oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan 28.5 peratus daripada 32.6 juta penduduk negara ini adalah kanak-kanak yang merupakan aset penting bagi meneruskan agenda pembangunan negara pada masa depan.

“Justeru, pelaburan yang dilakukan pada hari ini demi kepentingan dan kesejahteraan generasi ini dalam segala aspek kehidupan adalah amat penting dan harus diberi keutamaan untuk kita melihat impak positif kepada negara pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu di MELAKA, jasa seorang remaja lelaki menjaga ibu angkatnya yang terlantar akibat penyakit angin ahmar mendapat pengiktirafan apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Pingat Hang Tuah peringkat negeri tahun ini.

Malah, Muhammad Fakhrul Fithri Razali, 15, dari Kampung Sungai Siput, Alor Gajah, turut menjaga seorang lagi ibu saudara angkatnya yang kehilangan kedua-dua belah kaki akibat penyakit kencing manis.

Biarpun tiada pertalian darah dengan ibu angkatnya, Azizah Bujang, 53, dan kakak kepada wanita itu, Norlia, 60-an, remaja tersebut cekal menguruskan keperluan harian mereka termasuk menukar lampin pakai buang.

“Pernah juga saya tidak bersekolah dan mengambil cuti selama setengah tahun ketika di tingkatan satu kerana mahu menguruskan mereka. Mujur kini ada pembantu yang menolong menguruskan mereka ketika saya tiada di rumah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Naning itu, dia yang kematian bapa tiga tahun lepas berhasrat menjadi pakar forensik dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impiannya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS