Sejumlah 686 kawasan di Selangor akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 9 malam ini, kata Air Selangor.

Ini selepas Air Selangor terpaksa menghentikan tugas separa untuk kerja-kerja pembaikan ekoran paip air yang menyalurkan bekalan air terawat mengalami kebocoran.

"Kerja-kerja pembaikan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada jam 8.00 pagi, 18 Oktober 2020," kata Air Selangor dalam satu kenyataan.

Kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor yang menerima bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor Fasa 1(SSP1).

"Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat setelah kerja-kerja pembaikan siap dan sistem rawatan air di loji beroperasi seperti biasa pada jam 2.00 petang, 18 Oktober 2020," katanya lagi.

Gangguan terbaru ini adalah yang kedua di negeri ini dalam masa seminggu akibat masalah paip.

Dilaporkan pada hari Rabu bahawa paip yang pecah berhampiran stesen jana kuasa TNB Jalan Bukit Raja di Klang menyebabkan bekalan air terputus ke 15 kawasan di Klang dan Shah Alam.