Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP dan pemimpin Umno tegaskan 'no Anwar, no DAP'
Diterbitkan:  Oct 17, 2020 11:28 PM
Dikemaskini: 3:30 PM

Ketika spekulasi mengenai perubahan kerajaan terus diperkatakan, sekurang-kurangnya tiga ahli parlimen Umno dan dua pemimpin parti menyatakan pendirian mereka menentang sebarang rancangan yang melibatkan Presiden PKR Anwar Ibrahim atau DAP.

Hantaran mereka di media sosial hari ini muncul tidak lama setelah salinan surat yang didakwa ditandatangani bersama oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Umno Najib Razak kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah tular.

Jurucakap pejabat presiden Umno sebelum ini menafikan surat yang dikatakan diminta oleh Yang di-Pertuan Agong dari pelbagai pemimpin parti untuk mengesahkan sokongan kepada Anwar.

Susulan itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dalam kenyataan di Twitter mengatakan bahawa dia tetap teguh dengan keputusan sebelumnya yang dibuat oleh majlis tertinggi parti, untuk mengukuhkan BN dan memantapkan Muafakat Nasional.

"Tiada DAP! Tiada hubungan dengan pimpinan yang bersepakat dengan DAP seperti Anwar dan Dr Mahathir Mohamad," kata ahli parlimen Pontian itu.

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein pula mengulangi kenyataan awal Ahmad Zahid bahawa tidak ada yang dapat menghalang mana-mana anggota parlimen Umno menyokong Anwar.

Pada masa yang sama Hishammuddin mengatakan kandungan surat itu, jika terbukti benar, tidak mewakili pandangannya sendiri sebagai ahli Umno.

"Saya mahu nyatakan dengan jelas, saya tidak sokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Saya konsisten - no Anwar, no DAP" katanya di Twitter.

Melalui hantaran Story Instagram, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin juga menyatakan pendiriannya terhadap Anwar.

"Sekiranya surat itu benar, saya ingin menyatakan secara tegas bahawa presiden parti saya tidak bercakap untuk saya.

"Saya tidak menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi PM," katanya."Saya harap Ahli Parlimen Umno yang lain akan menjelaskan pendirian mereka.

"Mari kita lihat siapa yang mempunyai nombor (majoriti)," kata Khairy.

Ketika pertama kali mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan, Anwar menegaskan dia mempunyai sokongan termasuk dari anggota parlimen Umno.

Bagaimanapun, jumlah sebenar ahli parlimen yang menyokong Anwar tidak pernah didedahkan.

Selain ahli parlimen Umno, anggota dewan tertinggi parti Razlan Rafii juga mengemukakan bantahan terhadap sebarang "rekonsilasi" dengan PN, kerana dia menegaskan bahawa pendirian Umno, bersama-sama dengan PAS, hanya untuk menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Dia juga mengingatkan bahawa anggota dewan tertinggi Umno telah menolak cadangan untuk membentuk PN ketika ia diperdebatkan oleh Bersatu beberapa bulan setelah membentuk kerajaan.

"Mereka (pemimpin Bersatu) bekerja keras untuk merealisasikan PN untuk menyelamatkan kepentingan mereka sendiri, mereka menggunakan pengaruh sebagai kerajaan mengheret PAS untuk menyertai PN," katanya.

Razlan juga menyifatkan Bersatu sebagai sebuah parti yang tidak mengotakan janji, dengan memetik PRN Sabah sebagai contoh.

"Umno marah kerana berhadapan dengan golongan yang penipu namun dianggap sahabat dalam ikatan politik.

"Atas dasar itu, Umno membuat ketetapan untuk mengkaji semula ikatan politik dengan komponen PN agar Umno tidak lagi diperkotak

katik atau terdapat agenda 'tersembunyi' yang bakal merugikan Umno untuk jangka panjang," katanya.

Bagaimanapun, Razlan mengulangi pendirian sama bahawa Umno menolak kerjasama dengan Anwar.

"Soal sokong Anwar tidak perlu dipertikaikan kerana Umno sudah membuat ketetapan 'no Anwar, no DAP dan no Tun M'.

"Yang menjadi keutamaan sekarang adalah apa tawaran baru dan rekonsilasi dari Muhyiddin kepada Umno jika ingin meneruskan ikatan politik dan meneruskan kerajaan yang sedia ada.

"Akhir kata, Umno juga ada hati, perasaan dan maruah. Tahap kesabaran juga ada hadnya. Biar berkawan ikhlas dan berpolitik bermaruahm" katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi gambar yang diambil semasa pertemuan antara Zahid dan presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Asyraf berkata, dia menemani Zahid pada pertemuan dua jam di mana kedua-dua pemimpin membincangkan usaha memperkukuhkan hubungan Umno-PAS.

Pemimpin kanan Umno yang lain termasuk anggota dewan tertinggi Tajuddin Abdul Rahman telah mengemukakan pendapat mereka terhadap PN sebelum ini, sementara yang lain lebih banyak memihak kepada gabungan kerajaan Muhyiddin, termasuk Setiausaha Agung BN Annuar Musa, yang meminta agar perbezaan dapat diselesaikan melalui perbincangan.

Lihat Komen
ADS