Kerajaan dipertikaikan apabila sedia membeli syarikat penerbangan MAS dengan harga RM1.8 bilion tetapi enggan membayar bonus penuh kepada beberapa ratus ribu kakitangan kerajaan.

"Mengapakan kerajaan Barisan Nasional sanggup berbelanja berbilion ringgit untuk menyelamatkan (bailout) hanya seorang korporat kroni, Tan Sri Tajuddin Ramli sedangkan kerajaan tidak sanggup membiayai 800,000 kakitangan kerajaan," kata Ketua Pemuda PAS mahfuz Omar.

Mahfuz juga mempersoalkan tindakan Kementerian Kewangan membeli saham syarikat Naluri Berhad itu dengan harga RM8 seunit sedangkan harga pasaran semasa saham syarikat itu sekitar 3.70 seunit.

"Dengan harga yang terlalu tinggi ini, bermakna kerajaan membazirkan wang rakyat sebanyak RM4.40 bagi setiap saham," jelas Mahfuz dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menggesa kerajaan agar mencontohi Brunei yang menjual sahamnya dalam MAS mengikut harga pasaran semasa dan bukan menyelamatkan seseorang tokoh perniagaan.

Bagaimanapun Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin hari ini dilaporkan berkata pembelian 29 peratus saham syarikat milik Tajudin itu tidak boleh disifatkan sebagai menyelamatkannya( bailout ).

Beliau menjelaskan melalui perjanjian bersama "penjual-pembeli sama-sama rela," kerajaan bersetuju membeli saham berjumlah RM1.792billion.

Menurut laporan agensi Bernama , Daim menjelaskan kerajaan sanggup membeli saham dengan harga tinggi kerana nilai saham itu lebih tinggi daripada harga pasaran semasa.

Pemuda PAS juga melahirkan berasa hairan mengapa sebuah syarikat penerbangan gergasi yang pernah mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang boleh mengalami kerugian parah sedangkan ia sektor berdaya maju.

Tambah sumber itu bahawa punca utama kerugian yang dialami MAS adalah dasar kerajaan BN yang menindas rakyat.

"Selain kezaliman, penindasan, kerakusan dan penipuan, tindakan BN mencabul perjanjian, mencampuri urusan kehakiman, kadar rasuah yang tinggi terutama di kalangan pemimpin BN dan penguatkuasaan undang-undang draconian telah menyebabkan warga asing tidak berminat untuk menggunakan perkhidmatan syarikat Malaysia," jelas Mahfuz.