Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin mahu kerajaan mengawal media internet dan lamanweb, yang menurutnya bukan untuk menyekat kebebasan akhbar, tetapi untuk mengelak penyebaran khabar angin dan berita yang boleh menjejaskan perpaduan kaum.

Sehubungan itu, beliau beliau bersetuju dengan pendapat Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow supaya amaran dan tindakan dikenakan terhadap mereka yang menyebarkan khabar angin sehingga menjejaskan ketenteraman awam.

Zainuddin berkata, kawalan itu bukan bertujuan menyekat kebebasan akhbar tetapi untuk menghalang penyebaran berita yang berasaskan khabar angin dan juga artikel serta rencana bersifat perkauman.

"Dari satu segi, kawalan terhadap kandungan media akan meningkatkan kredibiliti sesuatu lamanweb kerana masyarakat akan tahu berita-berita yang disiarkan adalah tepat dan bukan lagi hanya berasaskan khabar angin," katanya.

Menurut laporan Bernama, beliau menegaskan demikian kepada pemberita di majlis 'Seiring Melangkah Bersama' sempena sambutan 60 tahun agensi di bawah Kementerian Penerangan peringkat Perlis di Dewan Warisan di Kangar malam tadi.

'Rakyat tidak terpengaruh'

Menteri Penerangan itu berkata, selagi media perdana tidak turut mengambil bahagian dengan menyiarkan khabar angin dan artikel berunsur hasutan, masyarakat tidak akan terpengaruh atau menganggap serius apa yang ditulis di Internet.

Beliau turut menegur media yang sering memaparkan berita jenayah sebagai berita penting dengan penulisan sensasi semata-mata untuk melariskan penjualan akhbar atau meningkatkan rating penonton terhadap sesuatu rancangan televisyen.

"Jika kita berbuat demikian, secara tidak langsung, kita akan memberi gambaran bahawa negara kita tidak selamat dengan kadar jenayah yang tinggi dan ini akan memberi kesan buruk kepada ekonomi dan imej negara sendiri," katanya.

Zainuddin berkata bahawa suatu masa dahulu, berita mengenai pembunuhan, penemuan mayat dan sebagainya jarang disertai dengan gambar-gambar mengerikan.

Bagaimanapun, katanya, kini sesetengah akhbar semakin berani menyiarkan gambar sedemikian tanpa mempedulikan hakikat bahawa perbuatan itu sebenarnya melanggar etika kewartawanan.