Malaysiakini
BERITA

CPRC sedia data, laporan harian Covid-19 dalam tempoh 4 jam setiap hari

Bernama

Diterbitkan

Menyediakan laporan harian dan maklumat terkini Covid-19 dalam masa kurang daripada empat jam setiap hari, adalah tempoh kritikal bagi pasukan data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC).

Berkongsi cabaran aktiviti dan proses pengumpulan data Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pasukan petugas di belakang tabir Kementerian Kesihatan (KKM) itu, akan menganalisis dan menterjemah data kepada laporan yang ringkas, padat serta mudah difahami.

“Data harian dikaji sehingga pukul 12 tengah hari dan mereka hanya ada tempoh masa kurang 4 jam untuk keluarkan laporan harian maklumat terkini setiap hari. Semoga segala urusan dipermudahkan. Insya-Allah,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau, pagi ini.

Dalam hantaran yang sama Dr Noor Hisham turut berkongsi, hantaran Facebook yang dimuat naik seorang petugas CPRC Dr Mohamad Fadli Khairie, yang menceritakan peranan dan tugas pasukan itu.

Menurut Dr Mohamad Fadli dalam hantaran berkenaan, setiap hari tepat pukul 8 pagi, Ketua Pengarah Kesihatan akan mengadakan mesyuarat bersama semua pemegang taruh dalam pengurusan Covid-19 KKM termasuk pakar perubatan, bagi membincangkan isu semasa seperti perincian kes harian, kluster aktif, keadaan hospital dan klinik kesihatan serta sumber manusia, selain langkah yang perlu diambil.

“Tugas kami bermula daripada menerima perlaporan dan notifikasi kes positif dari pukul 12 tengah malam semalam hingga 12 tengah hari, pada hari ini.

“Setiap maklumat yang diterima akan diteliti untuk memastikan ketepatan dan kesahihan data. Setiap pesakit juga diberikan nombor kes sebagai ‘de-identification’ bagi membolehkan analisis data dan kerahsiaan data pesakit terjaga,” menurut Dr Mohamad Fadli dalam hantaran itu.

Jelas beliau, setiap data kes positif yang disiasat akan dikenal pasti tentang maklumat sosiodemografi, kadar nilai kitaran ambang (CT value), punca jangkitan, jenis saringan dan risiko penyebaran kes terhadap masyarakat.

Selain itu beliau berkata, hubungan epidemik antara satu kes dengan kes yang lain, terutama apabila melibatkan hubungan antara negeri juga dikaji dan sekiranya ada, perbincangan dengan negeri dan daerah dilakukan untuk mengumumkan kluster tersebut.

“Waktu genting bagi kami antara pukul 4 dan 5 petang, sebelum sidang media harian mengenai perkembangan Covid-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan, semua data perlu dimuktamadkan selain proses verifikasi agar tiada kesilapan. Semua proses perlu berlaku dengan cepat dan tepat.

“Menjadi cabaran apabila bilangan kes harian yang sangat tinggi menyukarkan urusan analisa data. Apa pun yang berlaku, zero error (kesilapan sifar) dan 100 peratus accuracy (ketepatan) sentiasa jadi matlamat kami,” menurut beliau dalam hantaran itu.

Dr Mohamad Fadli berkata dengan data akhir itu, semua kes terlibat akan melalui proses geokod (geocoding) bagi klasifikasi mukim dan daerah, untuk digunakan pasukan aplikasi MySejahtera untuk ‘hotspot tracking’.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.