Kerajaan mula mengedarkan buku"Jambatan Bengkok" terbitan Jabatan Penerangan yang menjelaskan mengenai keputusan kerajaan untuk membatalkan projek jambatan untuk menggantikan Tambak Johor.

Fakta-fakta mengenainya disiarkan dalam bentuk soal jawab. Terdapat 14 soalan dikemukakan dalam buku setebal 43 muka surat itu.

Menurut laporan Bernama, setiap jawapan dalam buku bertajuk "Jambatan Bengkok, Fakta Lurus dan Telus" itu bersumberkan Jabatan Perdana Menteri.

Buku itu juga memuatkan salinan surat-surat asal dalam bahasa Inggeris oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada dan daripada bekas Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong serta Menteri Kanan republik itu Lee Kuan Yew mengenai isu itu serta isu tertunggak yang lain.

Semalam Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 100,000 naskhah telah dicetak, 50,000 daripadanya bersaiz buku dan selebihnya dalam bentuk mini.

Edar secara percuma

Katanya buku itu telah dihantar ke setiap Jabatan Penerangan negeri untuk diedar secara percuma kepada orang ramai.

Buku itu memuatkan penjelasan yang telah diberikan oleh kerajaan baru-baru ini mengenai isu pembatalan pembinaan jambatan bengkok, serta rundingan mengenai penggunaan ruang udara dan penjualan pasir kepada Singapura.

Jawapan dalam buku itu meliputi empat perkara pokok iaitu dakwaan bahawa kerajaan Singapura menerima cadangan Malaysia untuk membina sebuah jambatan bengkok dan jambatan berkenaan bukan sebahagian daripada pakej tertunggak isu dua hala.

Buku itu juga menjawab dakwaan bahawa Malaysia adalah negara lemah dan tidak mempunyai keberanian apabila tidak meneruskan jambatan bengkok dan ketika di meja rundingan Malaysia yang mengemukakan isu penjualan pasir dan kebenaran untuk Tentera Udara Singapura menggunakan ruang udara negara ini.