Malaysiakini
BERITA

Tajuddin: Kenapa pertikai Zahid cuba selamatkan diri?

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Okt 2020, 7:24 pagi

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abdul Rahman berkata adalah wajar untuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi "menyelamatkan diri" daripada pertuduhan mahkamah yang dihadapinya kini.

"Siapa yang tak mahu berusaha menyelamatkan diri masing-masing? Tidak hairan. Kalau Zahid hendak menyelamatkan diri dia, itu wajib dan tanggungjawab dia.

"Menjaga keselamatan diri, menjaga keselamatan keluarga. Kenapa dipertikaikan? Sama ada dia menggunakan partikah, ini kah, itu lain. Boleh diperlakukan, tetapi jika dia berusaha apa cara sekali, pun itu wajar.

"Tak kan kalau kamu dah sakit sampai nak mati tak pergi berubat? Kena berikhtiarlah cari ubatnya," katanya dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia, hari ini.

Tajuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai kritikan terhadap Zahid yang terpalit kes mahkamah.

Zahid, yang juga bekas timbalan perdana menteri berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pada 2 Mac lalu, Zahid yang juga ahli parlimen Bagan Datuk menafikan kesnya digugurkan oleh mahkamah ekoran kerjasama Umno dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi BN menegaskan dia akan membersihkan namanya di mahkamah tanpa pengguguran kes.

“Insya-Allah, saya akan membersihkan nama saya di mahkamah tanpa pengguguran kes. Saya mahu mahkamah menentukan keputusannya,” kata Zahid.

Sementara itu, ditanya mengenai sokongan yang diperoleh presiden PKR untuk membentuk kerajaan baru menggantikan PN, Tajuddin berkata dia tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu.

"Dia (Zahid) tak beritahu saya pun, mana saya tahu. Jawapannya jelas yang tahu saja tahu," kata Tajuddin.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.