Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Bagan Datuk nafi keluar poster ucap tahniah 'Zahid jadi TPM'
Diterbitkan:  Oct 18, 2020 2:43 PM
Dikemaskini: 6:43 AM

Umno Bagan Datuk menafikan pihaknya mengeluarkan poster ucapan tahniah ke atas Ahmad Zahid Hamidi atas lantikan sebagai timbalan perdana menteri.

Timbalan Ketua Umno bahagian itu, Khairuddin Tarmizi berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan poster tersebut mahupun mengizinkannya, dan menyifatkan ia dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Sejak akhir-akhir ini, begitu banyak maklumat palsu yang disebarkan pihak tertentu yang mahu merosakkan imej parti dan juga presiden Umno.

"Ini merupakan perang saraf yang dilakukan musuh politik Umno. Apa yang pasti Umno bahagian Bagan Datuk tidak mengeluarkan poster berkenaan," katanya seperti dipetik portal Sinar Harian.

Zahid merupakan ketua Umno Bagan Datuk dan ahli Parlimen di sana.

Khairuddin berkata pihaknya berharap penjelasan itu dapat meredakan kegusaran awam berhubung poster itu. Dia juga meminta orang ramai berhenti menyebarkannya.

Spekulasi rombakan kabinet makin hangat

Poster itu disebarkan di tengah-tengah ketegangan dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan Muhyiddin sedang menimbang untuk merombak kabinet.

Laporan itu memetik sumber sebagai mendakwa, rombakan itu dijangka menyaksikan lebih ramai ahli parlimen Umno dilantik, dengan ada pemimpin utamanya yang akan menjadi senator bagi membolehkannya memegang jawatan dalam Kabinet.

Pada minggu lalu, Umno dalam kenyataannya berkata sedang menimbang untuk menarik semula sokongan terhadap PN dan mahu mengukuhkan hubungan dengan PAS menerusi Muafakat Nasional.

Zahid

Ia susulan pengumuman Presiden PKR Anwar Ibrahim bahawa dia mempunyai sokongan yang kukuh di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru.

“Itu Umno mahu dan Muhyiddin perlu ikut sebagai tawaran akhir bagi memastikan Umno tidak menarik kerjasama politik dengan PN,” dakwa sumber itu.

Pada 16 Okt lalu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abdul Rahman, berkata jawatan timbalan perdana menteri dan portfolio penting dalam kabinet perlu diberikan kepada Umno, memandangkan parti itu memiliki kerusi Parlimen paling banyak dalam PN.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, Umno sebagai penyumbang kerusi yang banyak dalam Perikatan Nasional (PN) wajar mendapat portfolio yang baik.

"Umno komponen paling besar dalam kerajaan PN sewajarnya diberikan penghargaan, pengiktirafan tetapi malangnya tidak begitu.

Tajuddin

“Macam Azmin dan kawan-kawan, dia sumbangkan lebih kurang sembilan sahaja kerusi berbanding dengan Umno," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Mohd Redzuan Md Yusof pula berpandangan kerajaan PN tidak perlu merombak kabinet untuk memuaskan hati pihak tertentu.

Untuk rekod, MN dilaporkan akan mengadakan mesyuarat esok dan Setiausaha Agung Barisan Nasional Annuar Musa menjelaskan bahawa dia gembira selepas mengetahui wakil dari Bersatu, Umno dan PAS sudah mula berunding.

MT Umno dijangka akan mengadakan pertemuan Selasa ini.

Lihat Komen
ADS