Lebih 25 buah rumah di tiga kampung dekat Mukim Parit di Kota Bharu rosak apabila kawasan perkampungan di situ dilanda ribut dalam kejadian kira-kira pukul tiga petang semalam.

Ribut itu merosakkan beberapa bahagian rumah setelah dihempap pokok tumbang dan tercabut bumbung akibat diterbangkan angin kuat.

Seorang mangsa, Mohamad Che Bakar, 55, berkata ketika kejadian, dia berada di rumah bersama isteri dan dua orang anak apabila terdengar desiran angin yang kuat sebelum bumbung rumahnya tercabut diterbangkan angin sejauh lebih 10 meter.

"Ketika saya sedang membetulkan pintu bahagian dapur, atas bahagian dapur pula tercabut menyebabkan keseluruhan dapur basah.

“Bahagian bilik tempat tidur juga dibasahi air hujan. Banyak juga barang elektrik kena hujan, saya tidak sempat memindahkannya ke tempat lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit hari ini.

Seorang lagi penduduk, Anuar Ismail, 45, dari Kampung Likong, berkata ketika kejadian dia tidak berada di rumah namun segera pulang apabila menerima panggilan telefon daripada anaknya memaklumkan mengenai ribut kuat melanda rumah mereka.

Katanya sebaik pulang, dia terkejut apabila melihat bahagian bumbung belakang rumahnya ditimpa pokok durian.

"Syukurlah ketiga-tiga anak saya yang berumur sembilan, 15 dan 16 tahun yang berada di rumah ketika ribut itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk Mukim Parit, Wan Azizi Wan Ab Ghani berkata kampung yang terlibat dalam kejadian antara pukul tiga dan empat petang itu ialah Kampung Likong, Parit dan Kubang Kacang.

“Kebanyakan kerosakan melibatkan bumbung yang tercabut akibat angin kuat.

“Ada juga beberapa rumah rosak akibat ditimpa pokok durian dan manggis yang tumbang. Setakat ini tiada sebarang kecederaan menimpa penduduk," katanya.

Dia berharap pihak berkenaan dapat tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kerana ada di antara mereka yang tidak memperoleh pendapatan khususnya di waktu wabak Covid-19 sekarang ini.

-Bernama