Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pusat beli-belah saling bertukar kata-kata semangat hadapi Covid-19
Diterbitkan:  Oct 18, 2020 5:46 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Beberapa pusat beli-belah saling memberi kata-kata semangat antara satu sama lain dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19 yang menjejaskan perniagaan.

Ia bermula apabila akaun Facebook Sungei Wang Plaza melalui catatannya beberapa hari yang lalu yang memberi kata-kata semangat kepada pusat beli-belah lain untuk bersabar berdepan kesukaran ketika ini.

Catatan itu berbunyi: "Ini adalah masa yang sangat sukar, bagi setiap kita semua. Jangan bimbang, kerana kita akan bangkit semula setelah semua ini berakhir. Pegang erat, kerana kita akan menyelesaikannya bersama. Jangan menyerah, kerana kita akan berjuang bersama."

Hantaran itu ditanda kepada beberapa pusat beli-belah di Kuala Lumpur dan Selangor.

Susulan itu, beberapa beli-belah lain, termasuk yang berada di luar kedua-dua negeri itu, membalas kata-kata semangat serupa di ruangan komen.

Antara kata-kata semangat yang dikongsikan adalah seperti berikut:

Selayang Mall: Kata-kata 'Daigor' (abang besar) sangat memberi motivasi. Kita semua bersama-sama dalam menghadapi cabaran ini, dan kita akan menyelesaikannya bersama-sama!"

Gurney Plaza: Mengirim semua rasa kasih dan semangat kami ke semua pusat beli-belah. Jaga keselamatan dan ingat bahawa semua ini akan berlalu.

It has been a very difficult time, for each and everyone of us. Worry not, as we will rise again once all this...

Posted by Sungei Wang 金河广场 on Tuesday, 13 October 2020

 

Paradigm Mall Petaling Jaya: Terima kasih! Kita sama-sama, mari saling menyokong dan selesaikan ini bersama!

Nu Sentral: Mungkin keadaan tidak berapa baik sekarang, tetapi ia tidak akan kekal selama-lamanya! Kita saling menyokong.

Dpulze Cyberjaya: Lepas hujan terbitlah mentari. Tetap kuat rakan-rakan sekalian, kita dapat mengatasi ini bersama.

Pusat Beli-belah Bangsar: Ada cahaya di hujung terowong. Mari kita terus maju dan melalui masa sukar ini bersama-sama! Kekal kuat dan selamat.

Dataran Pahlawan Melaka Megamall: Mengirimkan kasih sayang & sokongan dari Dataran Pahlawan Melaka Megamall. Mari berjuang bersama. Semua yang baik akan datang tidak lama lagi.

Galeri Beli-belah Atria: Harap anda tidak keberatan kami turut berkongsi di sini, tetapi kami juga ingin menunjukkan sokongan kami kerana kita semua bersama-sama dalam hal ini. Mari berjuang melepasi masa-masa sukar ini! Dengan bersatu kita lebih kuat. Harap selamat dan jaga semua orang.

Sunway Pyramid: 'Singa' ada di sini untuk bersama semua orang! Kita boleh melakukan ini bersama-sama.

Premis perniagaan dan jenama popular lain juga menyertai ruangan koemn itu untuk memberikan kata-kata semangat.

Catatan itu meraih 8,600 reaksi 'likes' dan lebih 1,000 komen serta 3,000 perkongsian.

Susulan lonjakan kes Covid-19 melalui gelombang ketiga, pusat beli-belah terjejas teruk dengan kedai tertentu atau seluruh pusat beli-belah ditutup buat sementara waktu susulan kes Covid-19 dilaporkan di premis mereka.

Pada bulan September sahaja, sekurang-kurangnya enam pusat beli-belah terjejas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS