Kajian soal selidik yang dijalankan oleh sebuah badan penyelidikan berkaitan Bersatu mendakwa majoriti rakyat menyalahkan ketidakstabilan politik di negara ini sebagai punca kemerosotan ekonomi.

Menurut kaji selidik perbincangan kumpulan fokus oleh Emir Research, peserta kaji selidik berpendapat meskipun wabak Covid-19 dilihat sebagai perkara yang sangat mendukacitakan tetapi percaya ia bersifat sementara.

“Tidak ramai peserta FGD yang menyalahkan pandemik Covid-19 yang telah memburukkan lagi masalah sosio-ekonomi yang disebabkan oleh kemerosotan ekonomi akibat dari pandemik Covid-19,” menurut kaji selidik tersebut.

Mereka percaya bahawa ketidakstabilan politik yang tiada kesudahan itu menyebabkan proses untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial yang dihadapi negara terpaksa ditangguhkan, malah ia menjadi lebih buruk dengan Covid-19.

“Para peserta dilihat lebih menyalahkan ketidakstabilan politik yang melanda negara, yang kian meruncing dewasa ini.

“Masa yang berharga ini sepatutnya dihabiskan untuk memberi tumpuan kepada kemelut yang dihadapi oleh rakyat dan bukannya dihabiskan untuk permainan politik, tipu daya dan drama,” menurutnya.

Tinjauan dilakukan ke atas 63 peserta yang majoriti mereka terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang didakwa membentuk majoriti besar penduduk.

Mereka juga mewakili ciri-ciri utama penduduk dari segi kumpulan umur, taraf sosio-ekonomi, tahap pendidikan dan pekerjaan.