Pemuda parti Ikatan meminta supaya kerajaan memperketatkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ketuanya Shahir Adnan, berkata tidak boleh dinafikan bahawa gelombang ketiga penularan ini adalah berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sehingga menyebabkan peningkatan mendadak kes-kes positif sehingga merebak ke seluruh negara.

"Ketika peningkatan kes harian mencatatkan sekitar 800 kes sehari, terdapat juga ahli politik yang berkepentingan sendiri, mahu menukar kerajaan di saat keadaan yang getir ini.

"Pemuda Ikatan menggesa kerajaan memperhalusi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar memperketatkan PKPB seperti mana dilaksanakan ketika gelombang pertama dan kedua.

"Memperketatkan PKPB berjaya melandaikan lengkungan kes Covid-19 harian. PKPB juga tidak merencatkan kegiatan ekonomi kerana sesiapa sahaja dibenarkan berniaga. Namun, aktiviti sosial perlu dihentikan kerana kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Mengapakah pusat-pusat hiburan masih dibuka sewenang-wenangnya?," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan melaksanakan PKPB di Lembah Klang bermula 14 Okt lalu ekoran gelombang ketiga Covid-19 ketika ini.

Dalam pada itu, Shahir mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi fokus kepada penyelesaian isu rakyat berkaitan Covid-19.

"Kita lihat dengan jelas bahawa barisan hadapan di Sabah memerlukan sokongan daripada kerajaan persekutuan. Kemungkinan besar, kes harian mampu meningkat hingga empat digit dalam beberapa hari lagi berdasarkan unjuran R-Naught (Ro)," katanya lagi.

Semalam (18 Okt), jumlah kes baharu harian Covid-19 di Malaysia mencatatkan rekod tertinggi sejak pandemik itu melanda negara dengan 871 kes, menjadikan angka keseluruhan sebanyak 20,498 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu pada 7,049 kes.

Sabah pula terus mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 702 kes (80.6 peratus).