Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang lagi suspek disyaki terlibat dengan kes mencederakan anggota polis sedang diburu bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata, kes tersebut hampir diselesaikan pihaknya namun seorang lagi suspek yang masih dikesan.

"Kes (itu) hampir selesai, seorang lagi suspek masih bebas. Namun kita sudah dapat identitinya.

"Suspek berusia dalam awal 30-an," katanya kepada media ketika hadir pemantauan penguatkuasaan prosedur standard operasi (SOP) pencegahan Covid-19 di Pasir Mas, Kelantan hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan dua anggota polis cedera selepas diserang sekumpulan lelaki ketika menjalankan tugas pematuhan SOP Covid-19 di sebuah kedai di Lembah Sireh, Kota Bharu, pada 14 Okt lalu.

Kedua-dua anggota berkenaan adalah Inspektor N Indra Nahu, 33, yang mengalami luka di muka kerana ditumbuk dan dicakar, manakala Lans Koperal Tuan Hafizuddin Tuan Muhd Sukeli, 29, patah jari tangan kanan.

Susulan itu, tiga lelaki ditahan termasuk individu yang dipercayai pemilik kedai berkenaan, manakala seorang suspek masih bebas.

Sementara itu, mengulas mengenai tahap pematuhan SOP Covid-19 di negeri itu, Shafien berkata, pihak polis mengeluarkan 986 kompaun sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula Mac lalu.

Bagaimanapun katanya, polis Kelantan berpuas hati dengan 95 peratus tahap pematuhan SOP yang ditunjukkan oleh rakyat negeri terbabit bagi mengelak penularan wabak berkenaan.

"Sejak penguatkuasaan dijalankan rata-rata penduduk negeri ini mengikuti SOP yang ditetapkan seperti memakai topeng muka, menggunakan cecair basmi kuman dan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

"Tahap pematuhan rakyat kelantan semakin baik malah pihak polis mengucapkan tahniah dan syabas atas kerjasama yang diberikan ini selain berharap tiada peningkatan kes Covid-19 membabitkan rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS