Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Exco Selangor tidak tolak ada unsur sabotaj
Diterbitkan:  Oct 19, 2020 5:11 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Empat unit dron berteknologi tinggi model DJI Matrice 300 akan digunakan mulai bulan November bagi memantau sungai di Selangor sekali gus mencegah aktiviti pencemaran sumber air.

Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli dan Hal Ehwal selain Islam negeri Hee Loy Sian berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi empat unit dron itu yang akan diuruskan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melalui Skuad Pantas LUAS.

“Dron ini akan digunakan untuk memantau Lembangan Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat... dron yang akan digunakan ini juga berkeupayaan untuk mengambil sampel air termasuk di kawasan terpencil dengan lebih tepat.

“Malah ia juga dapat mengesan individu pada waktu malam termasuk memberi amaran awal jika terdapat aktiviti yang mencurigakan, dengan adanya teknologi ini kita jangka dapat cegah aktviti pencemaran sungai di Selangor pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Kolam Tebatan Banjir Sungai Gong di Rawang hari ini.

Beliau juga berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat unsur-unsur sabotaj sehingga menyebabkan berlaku pencemaran sumber air mentah yang dikesan pada 2 pagi tadi.

“Ini kerana pencemaran berlaku pada sebelah malam dan pada Ahad, biasanya kilang tidak beroperasi pada hari Ahad… kita sudah buat laporan supaya polis dapat buka kertas siasatan sama ada terdapat unsur sabotaj atau sebaliknya,” katanya.

Selain itu, Hee berkata cadangan mengubah enakmen sedia ada LUAS berhubung hukuman bagi kesalahan pencemaran sungai akan dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor akan datang.

“Sekarang denda yang dikenakan RM100,000 atau penjara, kita mahu denda sedia ada dinaikkan kepada RM200,000 hingga maksimum RM1 juta dan pesalah turut dikenakan penjara tidak lebih setahun.

“Selain itu, kita akan bagi ganjaran sebanyak RM20,000 kepada pemberi maklumat berhubung aktiviti pencemaran sungai dan maklumat mereka (pemberi maklumat) akan dirahsiakan,” katanya.

Terdahulu, sejumlah 1,196,457 akaun pengguna Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan di Lembah Klang sekali lagi mengalami gangguan bekalan tidak berjadual setelah empat Loji Rawatan Air Sungai Selangor dihenti tugas ekoran pencemaran sumber air mentah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS