Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asyraf cadang gencatan politik untuk tumpu usaha tangani Covid-19
Diterbitkan:  Oct 19, 2020 6:44 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Susulan lonjakan kes Covid-19 yang membimbangkan, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki meminta pemimpin politik berhenti berbalah.

Menurutnya, Covid-19 menyebabkan kesukaran di kalangan rakyat sehingga ada yang kehilangan pendapatan.

"Sudah tiba masanya, ahli-ahli politik tidak kira mewakili parti mana sekalipun melakukan gencatan politik untuk memikirkan solusi terbaik bagi mensejahterakan rakyat.

"Mungkin inilah saat terbaik kita sama-sama meletakkan perbezaan yang ada ke tepian, demi memberikan penumpuan kepada Agenda Perdamaian Nasional (National Reconciliation)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Asyraf berkata agenda berkenaan bukanlah bermakna pemimpin politik mencairkan identiti mahupun ideologi perjuangan parti masing-masing.

"Sebaliknya Agenda Perdamaian Nasional ini memberikan keutamaan kepada parti-parti politik untuk menangguhkan seketika persengketaan yang tajam dalam soal perebutan kuasa.

"Segala kudrat, kecerdasan minda dan sumber daya yang ada digemblengkan bersama untuk mendatangkan formula terbaik bagi membantu rakyat yang dihimpit segala keperitan lantaran dampak Covid-19 yang kian mencengkam," katanya.

Tambahnya, ia juga adalah manifestasi ketulusan kepimpinan setiap parti politik untuk menzahirkan nilai perjuangan sebenar yang bukan hanya seputar perebutan takhta tetapi benar-benar untuk membantu rakyat.

Katanya, agenda itu memerlukan tekad politik daripada semua pihak.

Asyraf turut mengingatkan bahawa sekiranya pemimpin politik terus berbalah, rakyat akan semakin mual dan menghukum mereka.

Selain Covid-19, rakyat Malaysia juga sedang menyaksikan pergolakan politik yang berlarutan selama beberapa bulan terakhir, yang dimulai susulan "Langkah Sheraton" pada Februari.

Rampasan kuasa politik itu menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) setelah hanya 22 bulan berkuasa dan digantikan dengan kerajaan Perikatan Nasional yang terdiri daripada Bersatu, Umno-BN, GPS dan lain-lain parti.

Namun, pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika ini turut berdepan cabaran.

Bulan lalu, ketua pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan majoriti yang kukuh untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa banyak ahli parlimen partinya menyokong Anwar.

Selepas Anwar mengadap dengan Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan membuat pengumuman mengejutkan apabila memaklumkan bahawa partinya mempertimbangkan untuk menarik balik sokongan terhadap PN.

Dia menambah bahawa Umno akan merundingkan semula syarat sokongan mereka kepada PN.

Umno dilihat sedang menunjukkan kekuatan dalam memaksa Muhyiddin membuat persetujuan tertentu untuk manfaat parti mereka.

Umno dijangka menyampaikan syarat dan ketentuan baru kepada perdana menteri selepas mesyuarat majlis tertinggi esok.

Lihat Komen
ADS