Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noor Hisham: 'Data mentah' tak dikongsi bagi elak interpretasi bercanggah

Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk hanya berkongsi data yang diproses dan bukannya 'data mentah' dengan jabatan kesihatan negeri adalah bagi tujuan penyelarasan yang lebih baik, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Noor Hisham berkata demikian setelah Pasukan Petugas Selangor untuk Covid-19 (STFC) mengatakan usaha mereka untuk memerangi wabak di negeri berkenaan terjejas kerana belum menerima data terperinci daripada kementerian sejak awal Oktober.

Selangor mencatatkan 101 kes baru setakat 12 tengah hari ini. Jumlah itu merupakan kes harian kedua tertinggi berdasarkan negeri.

Ketika ditanya mengenai isu ini hari ini, Noor Hisham menjelaskan bahawa ibu pejabat KKM tidak dapat memenuhi permintaan STFC untuk memperoleh data asal bagi memastikan interpretasi data diseragamkan.

"Sekiranya kita belum menganalisis data dan kemudian membuat kesimpulan, saya tidak akan tahu kesimpulan apa yang mereka buat. Adakah tepat untuk anda membuat kesimpulan apabila saya belum melihat data?

"Di situlah kita perlu menyeragamkan data.

"Ini bermaksud persekutuan akan menganalisisnya dan kita memberikan data tersebut ke negeri masing-masing. Dan negeri masing-masing akan meneliti data itu,” katanya.

Noor Hisham menambah bahawa langkah pemusatan seperti itu sangat penting untuk mengelakkan mesej bertentangan antara jabatan kesihatan persekutuan dan negeri.

"Jadi perkara terburuk yang boleh terjadi adalah (jika) pengumuman telah dibuat menggunakan data kita tetapi kita tidak tahu apa pengumuman itu. Oleh itu, saya berpendapat bahawa (ini mengenai) penyelarasan.

"(Lebih baik) jika kita dapat selaraskan dengan lebih baik antara pengarah kesihatan persekutuan dan negeri; dan pengarah kesihatan negeri selaraskan dengan pentadbiran negeri,” katanya.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS