Kontraktor idam pacuan empat roda terpakai dakwa ditipu
Impian seorang kontraktor untuk memiliki kenderaan pacuan empat roda pada harga murah bukan hanya tidak kesampaian, malah dia turut mengalami kerugian RM14,412 selepas diperdayakan dalam urusan pembelian menerusi laman sosial awal bulan ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 53 tahun itu mendakwa, ada sebuah Ford Ranger terpakai diiklan di Facebook pada 3 Okt lalu pada harga RM36,000.
Katanya mangsa berminat membeli kenderaan tersebut bagi tujuan kerja.
“Mangsa mendakwa berurusan dengan seorang lelaki menerusi nombor WhatsApp yang tertera pada iklan itu pada 5 Okt lalu dan diminta untuk membayar deposit sebanyak RM2,500 serta menyerahkan salinan dokumen peribadi dan penyata bank bagi urusan pembelian.
“Mangsa mendakwa dia sekali lagi dihubungi suspek untuk membuat bayaran RM11,912 atas pelbagai alasan seperti pendahuluan, cukai jalan dan insurans, serta urusan menukar hak milik yang dijelaskannya pada 6 dan 7 Okt lalu menerusi transaksi pemindahan wang ke akaun diberikan suspek,” katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.
Mohd Wazir menambah mangsa mendakwa suspek memaklumkan kenderaan itu akan dihantar ke rumahnya di Pekan dengan menggunakan perkhidmatan trak tunda.
Suspek juga didakwa memberikan nombor pemandu trak tersebut kepada mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa mendakwa pemandu trak tunda itu gagal menghantar kenderaan berkenaan dan kerap memberi alasan apabila ditanya menyebabkan mangsa berasa ditipu oleh penjual dan pemandu tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
- Bernama

