Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lanjutan PKPB Lembah Klang bergantung pada kadar kebolehjangkitan
Diterbitkan:  Oct 20, 2020 9:59 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

Setelah seminggu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata lebih masa diperlukan untuk menentukan jika perintah itu perlu dilanjutkan atau tidak.

Menjadikan Selangor sebagai contoh, Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan - diukur dengan nilai R0 atau Rt - di Selangor telah menurun sejak pelaksanaan PKPB tetapi ia belum memadai.

Menurutnya, kadar kebolehjangkitan di Selangor sebelum ini lebih tinggi berbanding Sabah iaitu pada kadar 1.98 - bermakna secara purata setiap individu yang positif akan menjangkiti kira-kira dua orang.

Seminggu selepas pelaksanaan PKPB sejak 14 Oktober, dia berkata nilai Rt di Selangor kini sekitar 1.48 hingga 1.50.

"Kita masih ada seminggu untuk melihat data. Jika kita dapat turunkan kepada 0.3 misalnya, dan anda ikut tengok kawasa kelabu (pada carta unjuran KKM di bawah), makan kita mungkin memberi cadangan berbeza.

"Setiap hari penting untuk kita lihat perkembangan keadaan dan di mana kedudukan kita dalam masa seminggu," katanya ketika sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham menjawab soalan sama ada dia yakin bahawa Lembah Klang telah melepasi keadaan buruk atau akan lebih banyak kes akan disahkan; dan sama ada PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dilanjutkan.

Untuk rekod, garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan nilai Rt perlu kekal di bawah 1.0 selama sekurang-kurangnya dua minggu untuk tahap penularan dianggap "terkawal dan menurun".

Menurut WHO, ia adalah petunjuk terbaik untuk melihat jika penularan berada dalam kawalan tetapi berkata pemantauan wabak yang baik perlu ada bagi mendapatkan jangkaan nilai yang boleh diyakini.

Lihat Komen
ADS