Kerajaan disaran menubuhkan sebuah badan bebas untuk menguruskan pengambilan tanah rakyat bagi memastikan pengambilan tanah dibuat secara adil.

Bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Hamdan Adnan yang membuat saranan itu berkata, kebelakangan ini sering berlaku pengambilan tanah yang merugikan rakyat dilakukan oleh kerajaan atau sektor swasta.

" Badan bebas ini atau suruhanjaya berkaiatan hak milik tanah hendaklah diterajui oleh seorang yang berwibawa serta dibantu oleh pakar-pakar hartanah. Tugasnya untuk menilai nilai sebenar tanah-tanah yang hendak diambil alih oleh kerajaan atau mana-mana pihak sekalipun.

Kita tahu pengambilan tanah oleh kerajaan tidak boleh ditentang atau dihalang oleh sesiapa tetapi sekurang-kurangnya badan bebas ini boleh membantu tuan punya tanah mendapatkan pampasan yang sewajarnya,"kata Hamdan ketika ditemui oleh malaysiakini baru-baru ini.

Menurutnya untuk memastikan badan bebas ini beroperasi dengan berkesan, anggotanya mestilah mereka yang berwibawa, berani dan tidak takut untuk bersuara bagi membela nasib golongan miskin.

Menurut beliau isu-isu berkaitan pengambilan tanah rakyat termasuk milik peribumi di Sabah dan Sarawak adalah antara aduan yang paling banyak diterima oleh Suhakam beberapa tahun lalu.

" Suhakam menerima banyak aduan tentang pengambilan tanah yang tidak adil. Pemilik tanah mengadu tidak dibayar pampasan yang sewajarnya. Mereka dibayar gantirugi yang sangat rendah sedangkan nalai sebenar hartanah itu jauh lebih tinggi.

Saya pernah menangani satu kes di Alor Setar di mana pemilik tanah mahu ndibayar gantirugi RM7 sekaki sedangkan tanah itu di pusat bandar itu bernilai RM40 sekaki. Setelah dua kali saya berunding dengan pemaju akhirnya mereka dibayar RM36 sekaki," jelasnya.

Beliau berkata, pemaju berkenaan memberi alasan pampasan tinggi tidak boleh diberikan kerana tanah tersebut berstatus tanah pertanian.

" Alasan mereka tidak munasabah. Ini adalah satu contoh bagaimana rakyat atau orang kampung ditipu atau dibuli oleh pihak-pihak berkenaan.

" Mereka sedar rakyat tidak punya kuasa untuk menghalang dan apabila rakyat tidak puas hati mereka suruh rakyat jumpa peguam atau pergi ke mahkamah.

" Bagaimana rakyat nak bawa kes mahkamah, mereka tidak punya wang untuk upah peguam, malah ramai yang tidak tahu undang-undang dan takut ke mahkamah," tambahnya.

Menurut Hamdan, bagi mengelakkan pihak berkenaan mengambil tanah rakyat sewenang-wenangnya, sebuah badan bebas diperlukan untuk menguruskan kes-kes pengambilalihan tanah rakyat.

"Kes pengambilan tanah secara tidak adil ini semakin berleluasa dan serius, semakin ramai orang politik atau pegawai kerajaan menjadi broker tanah bagi pihak kroni-kroni mereka," tegas beliau.

Hamdan juga menyatakan, antara kumpulan yang paling terjejas oleh aktiviti pengambilan tanah untuk tujuan komersil dan nasional akhir-akhir ini ialah Orang Asli.

" Mereka sering menjadi mangsa kerana tanah-tranah yang mereka duduki tidak mempunyai bukti hak milik walaupun sudah menjadi tempat tinggal mereka sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

" Para pemaju dengan mudah mengambil tanah-tanah berkenaan tanpa memikirkan kerugian yang ditanggung oleh masyarakat Orang Asli berkenaan. Sekurang-kurang mereka mesti memikirkan tanah itu adalah tempat tinggal Orang Asli dan tempat mereka memburu mencari makan, maka sepatutnyalah mereka diberikan pampasan yang sewajarnya," tambah beliau.