Malaysiakini
BERITA

Ujian vaksin Covid-19 di Brazil diteruskan meski sukarelawan meninggal dunia

Reuters

Diterbitkan

Pihak berkuasa kesihatan Brazil, Anvisa pada hari Rabu berkata bahawa seorang sukarelawan dalam ujian klinikal vaksin Covid-19 yang dikembangkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford telah meninggal dunia.

Bagaimanapun, ujian vaksin itu akan diteruskan.

Oxford mengesahkan rancangan untuk terus menguji vaksin itu, dengan mengatakan bahawa setelah penilaian yang teliti "tidak ada kebimbanan mengenai keselamatan ujian klinikal."

AstraZeneca enggan mengulas segera.

Seorang sumber yang maklum dengan perkara itu memberitahu Reuters bahawa ujian akan ditangguhkan sekiranya sukarelawan yang meninggal dunia telah menerima vaksin Covid-19, yang menunjukkan bahawa orang itu adalah sebahagian daripada kumpulan kawalan yang diberi suntikan meningitis.

Universiti Persekutuan Sao Paulo, yang membantu menyelaraskan ujian klinikal fasa 3 di Brazil, mengatakan sebuah jawatankuasa kajian bebas juga mengesyorkan agar ujian vaksin berkenaan diteruskan.

Universiti itu sebelumnya mengesahkan bahawa sukarelawan itu adalah warga Brazil tetapi tidak memberikan maklumat peribadi lebih lanjut.

"Semuanya berjalan seperti yang diharapkan, tanpa komplikasi serius berkaitan vaksin yang melibatkan sukarelawan," kata universiti Brazil itu dalam satu kenyataan.

Setakat ini, 8,000 daripada 10,000 sukarelawan dalam ujian vaksin itu telah direkrut dan diberi dos pertama di enam bandar di Brazil, dan banyak yang telah menerima suntikan kedua, kata seorang jurucakap universiti.

Ujian vaksin Oxford itu akan diteruskan setelah sukarelawan meninggal dunia, kata pihak berkuasa kesihatan Brazil.

CNN Brazil melaporkan bahawa sukarelawan itu adalah lelaki berusia 28 tahun yang tinggal di Rio de Janeiro dan meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

Anvisa tidak memberikan maklumat lebih lanjut, dengan berkata ia bagi menjaga kerahsiaan perubatan mereka yang terlibat dalam ujian berkenaan.

Susulan itu saham AstraZeneca turun 1.8%.

Kerajaan persekutuan Brazil mempunyai rancangan untuk membeli vaksin UK dan menghasilkannya di pusat penyelidikan bioperubatan FioCruz di Rio de Janeiro, sementara vaksin pesaing Sinovac Biotech Ltd dari China sedang diuji oleh pusat penyelidikan negeri Sao Paulo Butantan Institute.

Presiden Brazil Jair Bolsonaro mengatakan pada hari Rabu bahawa kerajaan pusat tidak akan membeli vaksin Sinovac.

Brazil mempunyai kes maut akibat Covid-19 kedua tertinngi setelah Amerika Syarikat, dengan lebih daripada 154,000 terkorban.

Brazil juga mencatat jumlah kes ketiga terbesar, dengan lebih daripada 5.2 juta dijangkiti, setelah Amerika Syarikat dan India.

- Reuters

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan