Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Goldman Sachs mencapai persetujuan dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) untuk membayar balik AS$2 bilion susulan peranan bank itu dalam skandal 1MDB di Malaysia, menurut laporan.

Perjanjian itu, yang dijangka akan diumumkan pada Khamis, membolehkan syarikat induk Goldman Sachs mengelak sabitan jenayah di AS yang berkaitan dengan skandal tersebut, lapor Bloomberg memetik sumber-sumber yang mengetahui perkembangan semasa perjanjian itu.

Malaysia telah menggugurkan tiga tuduhan jenayah terhadap Goldman Sachs setelah bank itu bersetuju membayar AS$2.5 bilion.

Siasatan ke atas firma Wall Street itu berkenaan peranannya dalam mengumpul AS$6.5 bilion pada 2012 dan 2013 untuk 1MDB, yang kemudian sebahagiannya didakwa disalur keluar oleh beberapa pihak.

Kumpulan perbankan pelaburan Goldman, yang ketika itu diketuai oleh ketua pegawai eksekutif David Solomon, meraih AS$600 juta daripada jualan bon itu.

Menurut The New York Times, Goldman Sachs akan "mengakui kesilapannya” tetapi tidak perlu mengemukakan pengakuan bersalah terhadap tuduhan di AS, sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan pendakwa raya.

Pada Julai, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan akan menerima pembayaran tunai sebanyak AS$2.5 bilion daripada AS$3.9 bilion yang telah dipersetujui oleh Goldman Sachs bagi penyelesaian tuntutan tertunggak berkaitan urus niaga untuk 1MDB.

Baki sebanyak AS$1.4 bilion akan dibayar selepas aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui urus niaga itu dikembalikan semula kepada kerajaan.

Pelobi mengaku bersalah

Sementara itu, bekas pengumpul dana bagi Presiden AS, Elliot Broidy mengaku bersalah awal minggu ini atas pertuduhan melobi Donald Trump secara haram bagi menggugurkan siasatan berhubung skandal rasuah 1MDB.

Dalam sesi perbicaraan di hadapan Hakim Persekutuan Washington, Colleen Kollar-Kotelly, Broidy, yang memegang jawatan berkaitan kewangan dalam kempen Trump pada 2016 mengaku bersalah atas tuduhan menerima berjuta dolar daripada pelabur asing yang tidak dinamakan.

Ia dipercayai bahawa pelabur asing tersebut merupakan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low melantik Broidy untuk mendesak wakil AS bagi menghentikan siasatan terhadap skandal 1MDB yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak.

Jho Low yang merupakan ahli perniagaan dari Malaysia kini diburu oleh pihak berkuasa Malaysia dan AS. Dia dipercayai sedang bersembunyi di China.

Low menafikan terlibat dalam sebarang salah laku.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS