Malaysiakini
BERITA

‘Gencatan politik Umno akui ada rancangan jatuhkan PN’

Diterbitkan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan "gencatan politik" semalam bagi mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara tidak langsung mengakui bahawa memang ada rancangan untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin, kata seorang pemimpin DAP.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata bahawa "gencatan politik" Umno itu adalah pendamaian sementara bagi membantu usaha yang dilakukan oleh kerajaan PN untuk membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19 serta kelembapan ekonomi.

"Gencatan politik merujuk kepada “pendamaian sementara” dua pihak yang bertentangan dalam politik khususnya di antara pihak dalam kerajaan dengan pihak yang berada dalam pembangkang.

"Yang peliknya, presiden Umno yang partinya berada dalam kerajaan PN mengumumkan “gencatan politik”. Secara tidak langsung, beliau mengakui bahawa memang ada rancangan untuk menjatuhkan kerajaan PN.

“Cuma sekarang kerana kes Covid-19 yang semakin meningkat, mereka berdamai sementara," kata Loke dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Zahid mengumumkan bahawa parti itu menyokong kerajaan PN untuk memerangi penularan wabak Covid-19.

Kata ahli parlimen Bagan Datoh itu, Umno memutuskan untuk mengarahkan kepimpinan parti dalam kabinet menumpukan usaha bagi menjayakan agenda membantu rakyat berdepan kesukaran akibat Covid-19.

Bagaimanapun menurutnya, kerjasama semua parti dalam PN harus diperkasakan demi kestabilan politik.

Sementara itu, Loke berkata bahawa pengumuman "gencatan politik" oleh Zahid bukan sesuatu yang baru.

"Sebenarnya saya telah pun mengemukakan pandangan berkenaan “gencatan politik” seawal bulan Ogos yang lalu, sebelum pun Pilihanraya Negeri Sabah diadakan.

"Saya berpandangan semua parti perlu berlapang dada dan bersedia untuk duduk di meja rundingan untuk menyelesaikan kemelut politik ketika ini.

"Pemimpin politik mesti bersedia untuk provide leadership.

"Mesej yang jelas mesti disampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia iaitu tidak ada pilihanraya umum sehingga tempoh Parlimen ke-14 berakhir, fokus seluruh tenaga untuk memerangi wabak Covid-19 dan merancakkan semula ekonomi," katanya lagi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan