Malaysiakini
BERITA

Saifuddin: PKR hormat keputusan Zahid

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Okt 2020, 2:37 tengahari

PKR memaklumkan parti itu menghormati kenyataan yang dibuat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi awal hari ini untuk memperkukuh sokongan Umno kepada Perikatan Nasional.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata partinya akan meneruskan usaha ke arah mengembalikan mandat rakyat yang diberikan kepada Pakatan Harapan pada PRU14.

"PKR mengambil maklum dan menghormati kenyataan yang telah dibuat presiden Umno hari ini.

"Pada masa yang sama, kami akan mengekalkan usaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan kebersamaan ahli-ahli parlimen yang mendokong cita-cita dan harapan yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Zahid mengumumkan “gencatan politik” berikutan Covid-19 dan memberi fokus kepada agenda membantu rakyat.

"Saya ingin menegaskan beberapa pendirian Umno seperti mana berikut, melakukan gencatan politik (political ceasefire) bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan

"Mendokong kerajaan PN dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi," kata Zahid petang tadi.

Zahid bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut maksud “gencatan politik” itu.

Pada 13 Okt lalu biro politik Umno mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan PN.

Sebaliknya parti itu memberi syarat baru kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Pengumuman Zahid hari ini dibuat pada saat genting memandangkan Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 23 Sept mengumumkan bahawa mempunyai sokongan kukuh dan meyakinkan daripada ahli parlimen termasuk Umno untuk menubuhkan kerajaan baru.

Untuk rekod, Zahid kemudian mengesahkan bahawa ramai ahli parlimen Umno menyokong ahli parlimen Port Dickson itu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan